Pemandu lori maut dilanggar Hilux berundur

KUCHING: Seorang pemandu lori meninggal dunia selepas dilanggar oleh sebuah pikap di kawasan tapak projek perumahan Darul Hana semalam.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala disahkan maut di tempat kejadian oleh paramedik Hospital Umum Sarawak (HUS) sekitar jam 2.10 petang.

Ketua Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, kejadian dilaoporkan sekitar jam 3.05 petang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa, 28, telah dilanggar oleh sebuah Toyota Hilux yang dipandu secara mengundur oleh pengurus tapak pembinaan jalan tersebut.

“Mangsa ketika kejadian sedang berdiri di belakang lori dipandunya sementara menunggu masa untuk menurunkan muatan tar bagi pembinaan jalan raya sebelum tersepit di antara kedua-dua kenderaan akibat dilanggar Toyota Hilux yang sedang mengundur.

“Mayatnya telah dihantar ke Unit Forensik HUS untuk ujian Covid-19 sebelum bedah siasat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Alexson berkata kedua-dua kenderaan terbabit kemalangan turut ditahan untuk siasatan lanjut kes di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Suara Sarawak