Pemandu normal ambil parkir kami!

KUCHING: Persatuan Anak Istimewa Sarawak (Perais) meminta orang awam yang normal agar tidak mengambil kesempatan atas kemudahan yang disediakan untuk OKU.

Presidennya Rapelson Richard Hamit berkata, tidak dinafikan Sarawak kini semakin mesra OKU dengan pelbagai kemudahan yang disediakan seperti tempat letak kenderaan dan sebagainya.

“Ia dapat dilihat di pasar raya, pusat beli-belah dan pekan kecil seperti kawasan Siburan yang turut menyediakan petak parkir kereta untuk OKU. “Bagaimanapun, kemudahan yang disediakan untuk golongan seperti kami (OKU) digunakan oleh orang awam yang normal. “Pemandu normal ambil parkir kami! Ini akan menimbulkan masalah kepada kami,” katanya pada sidang media di Kompleks Belia Sukan Negeri, di sini, baru-baru ini.

Tambahnya, orang awam juga meletakkan motosikal di tempat parkir yang disediakan untuk OKU. “Disebabkan itu, OKU yang berkerusi roda sukar untuk ke pusat beli-belah dan sebagainya jika kereta terpaksa diparkir jauh.

“Jadi, saya mohon agar orang awam bertimbang rasa dengan golongan kami khususnya dalam isu kemudahan untuk OKU,” ujarnya lagi.

Beliau menyatakan, walaupun terbukti orang awam menggunakan kemudahan untuk OKU, tetapi tiada tindakan diambil.

“Ekoran itu, saya memohon agar kerajaan memandang serius tentang Pekeliling OKU 2008 yang merupakan undang-undang untuk menjaga hak-hak OKU,” tegasnya lagi.

Suara Sarawak