BINTULU: Satu kemalangan kendiri melibatkan kenderaan jenis Perodua Viva telah berlaku di Pearl Gard, Jalan Sibiew pagi tadi.

Mangsa yang dikenali Andraw Achu, 34 telah memandu sehingga hilang kawalan sebelum terjatuh ke dalam longkang yang berkedalaman 18 kaki di tepi jalan.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM ), Tiong Ling Hii berkata mangsa berjaya mengeluarkan diri dari kenderaan tersebut tetapi masih berada di dalam longkang.

“Pihak bomba telah menerima laporan orang awam pada jam 5.31 pagi lalu segera ke tempat kejadian dan telah berjaya menggunakan tangga untuk membawa mangsa naik ke atas.

“Seramai sembilan anggota Bomba dan Penyelamat Bintulu yang diketuai PBK II Stephen Plen bersama dengan satu unit EMRS dan satu FRT telah ke tempat kejadian, didapati mangsa mengalami kecederaan di bahagain bahu kiri dan diberi rawatan awal oleh unit EMRS Bomba,” katanya.

Tambahnya mangsa yang merupakan penghuni Rumah Panjang Musa Sutong Sri Aman tersebut, seterusnya dihantar ke Hospital Bintulu untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

Kemalangan kendiri yang berpunca dari hilang kawalan telah menyebabkan kenderaan yang dipandu mangsa jatuh terjunam ke dalam longkang berkedalaman 18 kaki di Pearl Gard, Jalan Sibiew