Pematuhan SOP jadi kunci penanganan Covid-19

SERIAN: Beberapa tindakan serta strategi kesihatan awam dilaksanakan bagi membendung penularan wabak Covid-19 yang melanda Sarawak ketika ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, strategi yang ditekankan ketika ini adalah pematuhan serta penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Jelas Adham, SOP yang telah digariskan oleh Kerajaan Persekutuan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kerajaan Negeri mengikut ordinan negeri masing-masing adalah cukup kukuh untuk membendung wabak Covid-19.

“Kadar kebolehjangkitan (Ro/Rt) yang kita pantau meningkat sedikit kebelakangan ini iaitu pada kadar 1.1.

“Kita pantau serta atasi kebolehjangkitan ini dengan kaedah kesihatan awam iaitu kita cepat mengesan kes-kes positif, diasingkan di hospital dan cepat memberikan rawatan,” katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat dan lawatan kerja di Hospital Serian, di sini hari ini.

Suara Sarawak