Pembangkang Myanmar lancar kempen anti-Rohingya

NAYPYIDAW: Ketika Aung San Suu Kyi diburuk-burukkan di peringkat antarabangsa kerana menolak dakwaan pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik Rohingya, penentangnya dalam pilihan raya Myanmar meningkatkan kempen retorik anti-Rohingya.

Operasi yang disokong tentera di Myanmar pada 2017 ditolak oleh masyarakat di seluruh dunia yang menyaksikan ratusan ribu orang melarikan diri dari kampung mereka yang dibakar ke kem pelarian di negara jiran Bangladesh.

Keganasan mengerikan itu, termasuk laporan pembunuhan dan perkosa yang meluas mencemar reputasi Suu Kyi di peringkat antarabangsa dan menyebabkan Myanmar menghadapi tuduhan genosid di mahkamah tertinggi PBB.

Tetapi pemimpin Parti Solidariti Kesatuan dan Pembangunan (USDP), Than Htay, menegaskan Myanmar tidak perlu menyesal bagi tindakan tersebut.

“Saya tak dapat menerima orang yang tidak berguna di negara kami,” kata Than Htay kepada AFP bercakap berkaitan Rohingya yang tidak mempunyai kerakyatan.

USDP kumpulan pembangkang utama yang menentang parti Liga Nasional Demokrasi (NLD) Suu Kyi dalam pilihan raya hujung minggu ini, yang kedua di Myanmar selepas ia muncul dari pemerintahan tentera pada 2011.

Penyokong USDP malah mencipta parodi lagu NLD, dengan mendakwa pihak Suu Kyi menyambut “Muslim Bengali seolah-olah mereka tuhan”.

Rohingya dilucutkan kerakyatan dan hak mereka sejak berdekad lamanya, dengan penduduk di Myanmar secara meluas merujuk mereka dengan istilah “Bengali”, yang bermaksud mereka merupakan pendatang haram. – AFP

Suara Sarawak