Pembangunan demi keselesaan rakyat

KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak sentiasa berusaha memaksimumkan pembangunan demi kemudahan dan kesejahteraan rakyat termasuk di kawasan luar bandar.

Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, usaha kerajaan untuk melipatgandakan pembangunan di kawasan luar bandar selaras hasrat menjadikan Sarawak antara negeri paling maju menjelang 2030.

“Kerajaan Sarawak sentiasa berusaha untuk membayar pampasan yang adil dan munasabah kepada para pemilik tanah apabila pengambilan balik tanah dilakukan selaras dengan peruntukan sedia ada dalam Kanun Tanah Negeri (Bab 81) dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.

“Kanun itu menyebut, tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.

“Malah tiada undang-undang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerah cek pampasan kepada penduduk Kampung Sambir Asajaya di pejabat Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Samarahan di sini semalam.

Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan menambah, Skim Pembesaran Kampung Sambir dilaksanakan dengan penyediaan lot-lot kediaman.

“Kawasan itu juga dilengkapi dengan kemudahan asas seperti rangkaian jalan, sistem perparitan, bekalan air dan bekalan elektrik bagi menampung pertambahan penduduk sekali gus memenuhi keperluan kediaman rakyat berpendapatan rendah yang tidak mempunyai tanah sendiri.

“Dalam projek di Kampung Sambir, ia terdiri daripada dua fasa – yang pertama membabitkan 112 lot kediaman, tiga ekar rizab kerajaan, sebuah surau dan kawasan lapang,” jelasnya.

Katanya lagi, fasa kedua pula terdiri daripada 132 lot kediaman serta kemudahan untuk industri kotej dan bangunan kedai yang bakal dibangun.

Abdul Karim yang juga Adun Asajaya turut berterima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg atas kelulusan projek berkenaan yang akan memberi manfaat kepada rakyat tempatan khususnya di Kampung Sambir.

“Justeru, isu kerajaan merampas tanah, pengambilan balik tanah tanpa notis dan tanpa pampasan seperti didakwa oleh sesetengah pihak, tidak timbul sama sekali.

“Terima kasih kepada semua pemilik tanah yang terlibat dalam projek ini kerana memberikan kerjasama yang tidak berbelah bahagi kepada kerajaan,” ujarnya.

Secara keseluruhannya, seramai 58 pemilik tanah yang terlibat dalam Skim Pembesaran Kampung Sambir di Kota Samarahan menerima pampasan bernilai hampir RM6 juta.

Hadir sama Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Abdullah Julaihi yang diiringi Penguasa Tanah Bahagian Samarahan, Abang Jamalidon Abang Ullie.

Suara Sarawak