KUCHING: Kekuatan rohani, ketahanan emosi dan sokongan masyarakat perlu diperkukuh bagi membentuk individu yang tabah serta menangani cabaran kesihatan mental, termasuk isu bunuh diri.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof berkata pendekatan kerohanian perlu bergerak seiring dengan sokongan emosi, perhatian keluarga dan bantuan profesional bagi membantu individu yang berhadapan dengan kesukaran hidup.
Tambahnya, masyarakat perlu membina persekitaran yang prihatin dan saling menyokong, tanpa mengabaikan mereka yang sedang berdepan dengan pelbagai cabaran kehidupan.
“Dalam mendepani cabaran kehidupan yang semakin kompleks, kekuatan dalaman dan ketahanan jiwa merupakan antara asas penting dalam membentuk individu yang tabah, berakhlak mulia dan mampu menghadapi ujian dengan penuh kebijaksanaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kerohanian Bina Insan MADANI 3.0 (2026) di Masjid Ikhwanul Islam, Taman Sukma, selepas solat Subuh hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata pembinaan sahsiah berlandaskan al-Quran dan sunah Rasulullah SAW perlu terus diperkasakan, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Menurut Ahli Parlimen Petra Jaya itu, nilai kesabaran, amanah, ihsan, kasih sayang dan tanggungjawab penting dalam membentuk peribadi mulia serta menjadi panduan dalam membuat keputusan dan menjalani kehidupan.
Katanya lagi, pembangunan insan yang sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI tidak seharusnya tertumpu kepada pencapaian akademik dan kemajuan material semata-mata, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan kekuatan rohani, kematangan emosi dan akhlak yang luhur.
Pada majlis itu, beliau turut meluncurkan buku 20 Ayat Membina Insan Bertakwa dan Risalah Selawat MADANI terbitan Pertubuhan MADANI Gemilang sebagai usaha memperkukuh penghayatan agama dalam kalangan masyarakat.
Justeru, beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan dan diperluas bagi membentuk masyarakat yang berilmu, berkemahiran, mempunyai sahsiah terpuji serta prihatin terhadap kesejahteraan sesama insan.





