Pembangunan lebih berstruktur

MEMORANDUM persetujuan yang ditandatangani oleh Kelab Bola Sepak Bandar Raya Kuching (KCFC) bersama Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dapat membantu melaksanakan pembangunan sukan tersebut lebih berstruktur.

Presiden KCFC Fazzrudin Abdul Rahman berkata, kerjasama tersebut amat membantu pembangunan pemain muda.

“SSC akan membantu kita untuk lebih fokus dalam mengenal pasti pemain muda yang berbakat. “Fasiliti yang disediakan oleh SSC juga amat membantu pemain kita kerana latihan pada zaman ini bukan hanya di padang sahaja tetapi memerlukan pusat gimnasium untuk terus mengekalkan kecergasan pemain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Tandatangani Memorandum Persetujuan Pembangunan Bola Sepak Negeri (Kelab Bola Sepak Bandar Raya Kuching) semalam. Jelasnya, program pemilihan pemain muda adalah untuk seluruh belia di Sarawak bukan hanya terhad di kawasan Kuching sahaja.

“Sebelum ini, kita pernah mengadakan jelajah seluruh Sarawak untuk mencari pemainpemain baru yang berbakat,” katanya lagi. Sementara itu, beliau memberitahu bahawa sasaran tahun ini adalah untuk bergelar juara dalam Liga Perdana.

Namun, ia tertakluk kepada keputusan semasa kerana liga masih belum bermula. Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Nancy Jolhi, Ketua Pegawai Eksekutif SSC Dr Ong Kong Swee.

Suara Sarawak