Pembangunan menyeluruh Tanjung Manis

TANJUNG MANIS: Kerajaan Sarawak melihat pembangunan Tanjung Manis daripada perspektif yang lebih besar selain melaksanakan perancang rapi bagi memastikan manfaatnya dinikmati oleh seluruh rakyat.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, perancangan membangunkan Tanjung Manis dilakukan secara menyeluruh termasuk melakukan kajian terhadap keperluan asas yang diperlukan oleh penduduk di kawasan sekitarnya.

“Antara kemudahan terpenting yang kita rancang ketika itu ialah air, elektrik dan jalan raya. Perancangan itu yang dilaksanakan sejak 29 tahun ini menjadi bukti komitmen berterusan Kerajaan Sarawak untuk membawa kemajuan kepada rakyat kawasan ini,” katanya pada Majlis Perasmian Safari Memancing Tanjung Manis 2019, hari ini.

Beliau tidak menafikan setiap perancangan pasti berdepan masalah namun kerajaan terus berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik.

Usaha yang dilaksanakan kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) itu katanya, membawa perubahan kepada Tanjung Manis sekaligus memberi keselesaan kepada penduduk setempat termasuk Jerijeh, Belawai, Rajang, Semalau, Stalun, Sebayang dan keseluruhan kawasan lembah Rajang.

Len Talif (dua kiri) menyatakan sesuatu kepada salah seorang peserta memancing bagi Kategori Laut Dalam, Safari memancing Tanjung Manis 2019. Kelihatan sama, Udin Bujang (kiri). Gambar : Mohamad Gustie Noorambia

“Kita mengucapkan terima kasih kepada Pusaka atas komitmen agensi itu membangunkan Tanjung Manis. Saya berharap usaha murni ini terus mendapat sokongan semua pihak, ” katanya.

Menyentuh mengenai isu air, Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.41 Kuala Rajang, Kerajaan Sarawak tidak pandang ringan masalah yang turut membelenggu segelintir penduduk di kampung Belawai itu.

Katanya, usul menggunakan sumber air bawah tanah yang dikemukakan oleh Menteri Kerja Raya, Baru Bian baru-baru ini juga sudah lapuk kerana alternatif itu telah digunakan oleh Kerajaan Sarawak sejak 30 tahun yang lepas.
“Kerajaan terpaksa menggunakan bekalan dari Bayong Sarikei kerana sumber air bawah tanah tidak mencukupi bagi menampung pembangunan Tanjung Manis.

“Bagaimanapun kebanyakan saluran paip yang digunakan untuk menyalurkan bekalan air dari Bayong uzur dan mengalami kebocoran. Oleh kerana itulah, Kerajaan Sarawak mengambil pendekatan untuk menggunakan bekalan air dari Batang Rajang yang disalurkan dari Sibu,” katanya.

Beliau berkata, usaha yang mempunyai impak besar dalam tempoh jangka panjang ini dilakukan kerana kerajaan sedar keperluan bekalan air di Tanjung Manis akan bertambah dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Oleh sebab itulah, sebarang tuduhan yang menyatakan agensi kerajaan tidak melakukan kerja adalah tidak berasas sama sekali,” katanya.

Dalam pada itu, lebih 80 peserta berentap untuk merebut gelaran juara dalam Cabaran Safari Memancing Tanjung Manis 2019 yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM35,500 itu.

Safari yang terbahagi kepada dua kategori laut dalam dan pesisir pantai itu merupakan acara tahunan dalam kalendar aktiviti Pusaka.
Selain menguji kesabaran peserta, program tahunan ini juga bertujuan mempromosikan Tanjung Manis kepada orang ramai agar mengetahui perkembangan terkini yang dilaksanakan di kawasan berkenaan.

Hadir sama, Pegawai Daerah Tanjung Manis, Udin Bujang dan Penolong Pengurus Besar Pusaka Wilayah Tengah, Johari Zainudin.

Upacara pelepasan untuk peserta kategori laut dalam. Gambar : Mohamad Gustie Noorambia

Suara Sarawak