Pembantu penguatkuasa BDA didakwa kemuka tuntutan palsu

BINTULU: Seorang pembantu penguatkuasa Lembaga Kemajuan Bintulu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah, di sini atas empat pertuduhan menuntut elaun perjalanan palsu, antara September dan Oktober 2017.

Tertuduh, Abdul Halil Ahmad, 42, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nixon Kennedy Kumbong.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, tertuduh didakwa mengemukakan tuntutan elaun perjalanan palsu menerusi ‘sistem layan diri pekerja’ (Employee Self- Service System) pada 6 September 2017, 7 September 2017, 18 Oktober 2017 dan 24 Oktober 2017 sedangkan tertuduh tidak menggunakan kenderaan sendiri, sebaliknya, menggunakan kenderaan jabatan.

Tertuduh diwakili peguam bela , Hasnah Saini manakala pihak pendakwaan SPRM dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya Ikhwan Mohd Ibrahim.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan dua penjamin tempatan yang mempunyai surat pengesahan majikan dan dikehendaki melaporkan diri kepada pihak SPRM pada setiap Sabtu.

Nixon menetapkan 24 hingga 26 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.