KUCHING: Seorang pembantu rumah tempatan menerima hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah mencubit lengan seorang isteri salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Norlela Sulaiman, 34, dari Pusa, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.
Dia didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa, seorang wanita berusia 71 tahun.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Petra Jaya, sekitar jam 5.00 petang pada 27 Disember lalu.
Mengikut pertuduhan, jika sabit kesalahan, Norlela boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali.
Pada hari kejadian, pengadu, iaitu anak perempuan mangsa, dimaklumkan oleh pembantu rumah yang lain mengenai kecederaan pada lengan ibunya.
Mangsa, yang uzur, memberitahu bahawa tertuduh telah mencubit lengannya ketika membantu mengambil air wuduk di bilik tidur pada 26 Disember lalu.
Pengadu kemudian membuat laporan polis, yang membawa kepada penangkapan tertuduh di kediamannya di Kampung Spinang.
Mangsa, seorang Datin, dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Siasatan mendedahkan bahawa tertuduh bertindak demikian kerana hilang sabar dan geram terhadap mangsa.
Majistret Ling Hui Chuan menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan amaran kepada masyarakat agar tidak bertindak melulu.



