Pembeli rakus dilarang membeli di Taobao 980 tahun

CHINA: Perkhidmatan pembelian atas talian dari China iaitu Taobao baru-baru ini melarang seorang pembeli menggunakan perkhidmatan mereka hampir 1,000 tahun.

Tindakan itu diambil selepas lelaki itu membeli sebuah jam tangan mahal dan kemudiannya meminta wangnya dipulangkan semula.

Lelaki tersebut bernama Zhu dari wilayah Fujian memberitahu akaun Taobao miliknya disekat selama 980 tahun selepas dia membeli jam Omega berharga 33,000 yuan (AS$4,811) tetapi kurang seminit kemudian dia meminta wangnya dikembalikan.

Zhu turut menunjukkan tang-kapan skrin mesej yang diterimanya dari Taobao memberitahu akaunnya disekat sehingga 2999-01- 10:01 atas kesalahan “penyalahgunaan pembelian barangan dan memohon bayaran balik.” Ejen pelanggan Taobao pula memberitahu akaun Zhu disekat selepas lelaki itu meminta wangnya dipulangkan berpuluh kali.

Zhu dikatakan mempunyai tabiat membeli barang secara impulsif dan kemudiannya meminta wangnya dikembalikan semula. Zhu bagaimanapun mendakwa dia berbuat demikian kerana perjanjian Taobao yang memberi hak kepada pelanggannya untuk meminta wang mereka dikembalikan sebelum barangan itu dikirimkan kepada mereka.

Kisah Zhu yang disekat selama 980 tahun itu mendapat pelbagai reaksi di media sosial dan ada yang menasihatkannya agar meminta bantuan profesional bagi membantunya menangani masalah impulsifnya.

Suara Sarawak