KUCHING: Pembelian tiket penerbangan secara borong oleh pihak agensi pelancongan tidak berlaku di Sarawak.
Pengerusi Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Sarawak Oscar Choo berkata, ia merupakan masalah yang terjadi di peringkat nasional.
“Ia merupakan masalah dan isu yang berlaku di peringkat kebangsaan.

Namun melalui pihak ibu pejabat Matta, memang kita dimaklumkan bahawa kos penerbangan itu sendiri mahal jika dibandingkan dengan sebelum pandemik.
“Ia berlaku disebabkan permintaan dan bekalan. Jadi sukar untuk dikatakan kerana ia bergantung dengan keadaan semasa,” katanya pada sidang media Matta Fair 2023, di sini, hari ini.
Bagaimanapun katanya, Matta Sarawak yang mempunyai 157 ahli setakat ini bersedia untuk memberikan kerjasama kepada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan sekiranya perlu bagi menyiasat sebarang kejadian pembelian tiket penerbangan secara borong oleh agnesi pelancongan.
“Oleh sebab itu, kita sentiasa menggalakkan orang ramai untuk membeli pakej pelancongan termasuk umrah melalui agensi-agensi yang berdaftar bagi mengelakkan sebarang masalah pada masa akan datang,” ujarnya.
Terdahulu minggu lalu, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Tiong King Sing menegaskan pihaknya akan mengambil tindakan tegas termasuk pembatalan lesen terhadap mana-mana agensi pelancongan sekiranya didapati terlibat dalam pembelian tiket penerbangan secara borong.
Akhbar baru-baru ini melaporkan beberapa agensi pelancongan umrah didakwa membeli tiket penerbangan secara borong daripada syarikat penerbangan tempatan ke Tanah Suci, yang menjadi antara punca kenaikan harga secara mendadak untuk menunaikan umrah.
Dilaporkan, tiket penerbangan umrah hanya sekitar RM2,700 hingga RM2,800 tetapi kini dijual semula oleh agensi terbabit dengan harga sekitar RM4,800 hingga RM5,000.