ARTIKEL

Ripin (tiga kiri) menyaksikan persembahan tarian singa sempena sambutan Hari Belia Negara 2024 Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Sri Kenyalang UPM Kampus Bintulu, hari ini.

Pembentukan belia harus diseimbangkan antara kemajuan teknologi dengan nilai-nilai kemasyarakatan – Ripin

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Perkembangan teknologi, khususnya media sosial, merupakan antara cabaran dalam pembentukan sahsiah belia masa kini.

Malah, kecanggihan teknologi tersebut juga telah membentuk satu budaya baharu dalam masyarakat pada peringkat awal kanak-kanak lagi, kata Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Usahawan), Datuk Dr Ripin Lamat.

Beliau berkata kemajuan teknologi media sosial, seperti Facebook, Instagram, WhatsApp, TikTok dan sebagainya pada masa kini, juga telah banyak mempengaruhi gaya hidup masyarakat, terutamanya dalam kalangan belia.

“Kita tidak dapat menolak teknologi dan perkembangan sains kerana inilah yang memacu kehidupan kita pada masa akan datang.

“Persoalannya ialah bagaimana kita mengadaptasi terutamanya institusi keluarga dan juga program yang dianjurkan oleh pihak kerajaan untuk menyesuaikan program yang ada ini supaya belia ini yang kita harapkan untuk menjadi pemimpin masa hadapan, menghargai nilai-nilai kemasyarakatan, perpaduan, semangat hormat menghormati dan toleransi terhadap komuniti dan masyarakat di Sarawak memandangkan masyarakat Sarawak berbeda daripada Semenanjung Malaysia, ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap mewakili Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, pada sambutan Hari Belia Negara 2024 Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Sri Kenyalang, Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu pada hari ini.

Dalam pada itu, Ripin berkata pembentukan golongan belia sebagai pemimpin pada mana-mana peringkat perlu dimulakan menerusi hubungan dan interaksi dengan masyarakat.

Beliau, bagaimanapun, berkata walaupun senario kehidupan kian berubah, teknologi tetap amat diperlukan dalam pelbagai bidang, termasuk perniagaan dan pendidikan, selain menjadi sumber maklumat terpantas.

Namun katanya, teknologi juga membawa unsur negatif sekiranya tidak dimanfaatkan dengan betul.

Justeru, golongan belia khasnya pada peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta harus mengambil inisiatif untuk terlibat secara aktif dalam program kemasyarakatan bagi menjamin pembentukan jati diri yang berkualiti.

Ripin melakukan gimik perasmian sambutan Hari Belia Negara 2024 Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Sri Kenyalang UPM Kampus Bintulu, hari ini.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU