KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) berharap barisan Kabinet Persekutuan baharu yang bakal diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengekalkan jawatan empat menteri penuh dari negeri ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bagaimanapun pihaknya menyerahkan kepada Anwar untuk memuktamadkan keputusan pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan tersebut.
“Kita berharap jumlah menteri daripada GPS dikekalkan seperti kabinet Persekutuan sebelum ini. Dahulu kita mempunyai empat menteri penuh termasuk mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar,” katanya.

Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata demikian ketika ditemui media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Kompleks DUN, hari ini.
Ketika ditanya siapa Ahli Parlimen yang bakal menggantikan Wan Junaidi memandangkannya sudah bersara, Abang Johari berkata beliau tidak pasti kerana hanya Anwar yang mengetahui perkara tersebut.
“Saya tidak tahu kerana hanya Perdana Menteri mengetahui keputusannya. Saya cuma kata bahawa kita meminta untuk jumlah jawatan menteri penuh dari Sarawak dikekalkan seperti sebelum ini,” jelasnya.
Laporan terdahulu melaporkan, pembentukan barisan Kabinet Anwar dijangka diumumkan selewat-lewatnya Jumaat bagi membolehkan Jemaah Menteri baharu mengangkat sumpah sebelum hujung minggu ini.
Manakala dalam laporan akhbar tempatan, Anwar dijangka melantik dua Timbalan Perdana Menteri dalam senarai 25 ahli Kabinetnya. Timbalan perdana menteri terdiri daripada GPS dan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO.
Untuk rekod, dalam kabinet Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Sarawak mempunyai empat menteri penuh merangkumi Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi, Datuk Alexander Nanta Linggi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Nancy Shukri.