ARTIKEL

Senator Datuk Ahmad Ibrahim

Pemberian kewangan kepada Sarawak tanggungjawab mutlak Kerajaan Persekutuan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Pemberian kewangan daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri bukanlah satu bentuk bantuan ihsan atau budi bicara.

Senator Datuk Ahmad Ibrahim berkata, pemberian ini sebaliknya merupakan satu tanggungjawab mutlak yang termaktub secara sah di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Tanggapan bahawa peruntukan tersebut adalah wang ihsan perlu diperbetulkan kerana ia merupakan hak negeri-negeri yang dijamin oleh undang-undang tertinggi negara.

“Pemberian ini bukan wang ihsan.

Ia adalah kewajipan perlembagaan Kerajaan Persekutuan kepada negerinegeri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 109(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, dibaca bersama Bahagian I Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2026 (D.R. 2/2026) di Dewan Negara, semalam.

Tambahnya, dana tersebut yang disalurkan daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan adalah nadi utama bagi membolehkan Kerajaan Negeri melaksanakan tadbir urus dan menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Dalam perbahasan yang sama, Ahmad turut menarik perhatian mengenai formula pemberian sedia ada yang berasaskan bilangan penduduk (per kapita).

“Formula tersebut perlu dinilai semula kerana ia tidak mencerminkan realiti kos pembangunan di negeri yang luas seperti Sarawak.

“Kos membina satu kilometer jalan raya di bandar tidak sama dengan kos membina jalan di kawasan pedalaman seperti di Baram, Belaga atau Ulu Kapit.

“Begitu juga kos menyediakan kemudahan kesihatan di kawasan yang hanya boleh diakses melalui sungai atau jalan balak,” jelas beliau.

Tegasnya lagi, keadilan fiskal dalam sebuah Persekutuan bukan sekadar memberikan jumlah yang sama, tetapi memastikan setiap negeri mempunyai kemampuan setara untuk membangunkan infrastruktur asas.

Menyentuh mengenai kedudukan Sabah dan Sarawak, beliau mengingatkan bahawa peruntukan kewangan khas bagi kedua-dua wilayah tersebut adalah hasil daripada rundingan sejarah melalui Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962 dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kepentingan Perkara 112C dan 112D dalam Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Geran Khas kepada Sarawak dan Sabah perlu disemak secara berkala melalui rundingan antara kedua-dua pihak.

“Sebagai langkah ke hadapan, Malaysia boleh mencontohi sistem Pengumbangan Fiskal yang diamalkan di negaranegara persekutuan maju seperti Australia dan Kanada,” katanya.

Menjelas lanjut katanya, sistem tersebut dilihat lebih adil kerana ia mengambil kira faktor keluasan negeri, tahap pembangunan luar bandar, serta beban kos penyampaian perkhidmatan di kawasan geografi yang mencabar.

BERITA LAIN

Politik Semenanjung tidak jejas GPS – Abdul Karim

KUCHING: Pergolakan politik di Semenanjung Malaysia dijangka tidak menjejaskan landskap politik Sarawak menjelang Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13), dengan perpaduan rakyat dan agenda pembangunan

BERITA TERBARU