ARTIKEL

Karim menjawab soalan pemberita selepas menyempurnakan sidang media SIMBC 2024 di Bangunan Baitulmakmur II. - FOTO: GHAZALI BUJANG

Pembinaan lapangan terbang baharu Kuching diteliti, namun tidak dilaksana segera

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Persiapan membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) sedang diteliti, namun tidak dilaksanakan segera.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perancangan pembinaan bangunan baharu ini demi masa depan rakyat.

“Pada ketika itu, mungkin saya dan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sudah tidak ada, namun sekurang-kurangnya perancangan ini tersedia untuk pemimpin dan rakyat pada masa akan datang.

“Kita dapat lihat bahawa Sarawak bergerak ke hadapan dengan agak pantas. LTAK pada masa ini menampung jumlah penumpang lebih daripada sasaran ketika ia pertama kali dibina bertahun-tahun dahulu.

“Jumlah penumpang yang keluar dan masuk ke lapangan terbang ini melebihi bilangan yang dapat ditampung oleh bangunan berkenaan.

“Maka, kita membuat perancangan membina sebuah lagi lapangan terbang yang lebih sesuai. Namun, ia tidak dilakukan pada tahap segera,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan sidang media Cabaran Berbasikal Bukit Antarabangsa Siol (Siol International Mountain Bike Challenge – SIMBC) 2024 di Bangunan Baitulmakmur II hari ini.

Sementara, beliau mendedahkan bangunan LTAK lama tidak akan ditutup, tetapi mungkin digunakan untuk tujuan persendirian atau kegunaan dalaman.

“Kita belum tahu… kita rancang dan buat keputusan seadanya,” ringkasnya.

Sehubungan itu, Abdul Karim turut menyatakan pembinaan LTAK baharu akan memberi manfaat kepada industri terlibat.

“Membina lapangan terbang baharu dapat memberi kesan berganda yang positif khususnya kepada industri binaan termasuk kontraktor, pereka hiasan dalaman, pembekal dan lain-lain,” katanya.

Terdahulu, Abang Johari mengumumkan rancangan membina lapangan terbang antarabangsa baharu di Kuching menerusi ucapan penggulungan pada sidang DUN pada Rabu, 15 Mei.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU