KUCHING: Projek Lebuhraya Pan Borneo telah mencapai kemajuan sebanyak 94 peratus setakat April ini, dengan 11 bahagian lebuhraya siap sepenuhnya.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, berdasarkan laporan sidang DUN lalu, hanya tujuh bahagian yang dilaporkan siap dan kini sebanyak 11 daripada 25 bahagian siap sepenuhnya.
“Empat bahagian tambahan yang baru siap ialah Jalan Kuching-Serian (persimpangan sepanjang lima kilometer), Pantu (41 kilometer), Betong (34 kilometer) dan Bakun (42 kilometer),” katanya.
Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Wilayah itu berkata demikian semasa sesi penggulungan kementeriannya di sini, hari ini.
Sementara baki 13 bahagian jelasnya pada peringkat akhir penyiapan dengan masing-masing menunjukkan kemajuan pembinaan antara 85 hingga 95 peratus.
Bagaimanapun disebabkan isu teknikal tambah Uggah, hanya 34.5 kilometer di bahagian Lambir akan disiapkan menjelang akhir tahun ini, manakala baki 4.5 kilometer akan siap pada 2026.