ARTIKEL

Pembinaan pusat hemodialisis di Meradong antara tumpuan utama kerajaan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTANGOR: Pembinaan pusat hemodialisis kini menjadi salah satu tumpuan utama kerajaan bagi meningkatkan akses kesihatan kepada penduduk Meradong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, kemudahan itu merupakan keperluan penting bagi menampung pertambahan jumlah  pesakit selain membantu meringankan beban mereka yang mendapatkan rawatan di hospital yang terletak jauh dari daerah tersebut.

Ketika ini katanya, kawasan Sungai Tulai merupakan tapak cadangan bagi tujuan berkenaan memandangkan kesesuaian lokasinya.

“Saya akan melakukan usaha susulan dalam Persidangan DUN pada Mei nanti dan berharap mendapat berita baik daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Bagi saya, projek ini impaknya cukup tinggi,” katanya sejurus selesai mengadakan program lawatan rumah panjang di Meradong semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Kuong Hiing menjelaskan, pihaknya juga telah menyenaraikan beberapa projek lain di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).

Sebahagian besar projek berkenaan katanya, mempunyai kepentingannya yang tersendiri dan bakal membawa kesan besar kepada rakyat, seterusnya mengubah wajah Meradong dalam jangka panjang.

Pada masa sama, beliau berharap semua pihak memberikan kerjasama supaya pelaksanaan kesemua projek berkenaan berjalan lancar dan sempurna.

Malah beliau turut mengingatkan kontraktor yang bertanggungjawab untuk melaksanakan amanah dengan sebaik-baiknya.

“Pelaksanaan projek ini merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan Sarawak dalam usaha merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU