ARTIKEL

SUNGKEI... Anwar diiringi Abang Johari tiba di Majlis Berbuka Puasa MADANI Peringkat Sarawak 2024 Bersama Perdana Menteri di Masjid Al-Muttaqin, Kota Samarahan, hari ini. - Foto: Mohd Alif Noni

Pembinaan Pusat Kanser Sarawak akan dimulakan segera dengan pembiayaan Kerajaan Negeri dahulu – Anwar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Berita baik yang ditunggu-tunggu rakyat negeri ini bakal menjadi kenyataan apabila Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk menubuhkan Pusat Kanser Sarawak.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persetujuan persepakatan yang dicapai antara kerajaan itu menyaksikan peruntukan bagi pembinaan pusat tersebut dibiayai oleh Kerajaan Sarawak terlebih dahulu.

“Dalam mesyuarat bersama-sama Kerajaan Negeri tadi, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberitahu beliau sangat terkesan dengan masalah kanser atau barah yang menular dalam kalangan rakyat.

“Penyakit ini bukan sahaja memerlukan kos rawatan yang tinggi, malah rakyat di sini perlu pergi ke Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan. Jadi beliau menekankan keperluan penubuhan pusat ini.

“Namun memandangkan negara sekarang menghadapi bermacam-macam masalah seperti teknikal dan kewangan, jadi saya bersetuju pembinaan Pusat Kanser Sarawak dilaksanakan melalui kaedah baharu.

“Sarawak boleh memulakan penubuhan pusat ini dengan pembiayaan mereka sendiri dahulu. Kos kemudiannya akan ditampung oleh Kerajaan Persekutuan kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa MADANI Peringkat Sarawak 2024 Bersama Perdana Menteri di Masjid Al-Muttaqin, Kota Samarahan, hari ini.

Mengulas lanjut ujarnya, kaedah pembiayaan pembinaan pusat tersebut juga merupakan pendekatan baharu yang dilaksanakan di negara ini memandangkan kerajaan negeri mempunyai sumber kewangan sendiri yang kukuh.

“Maka saya kata, kita akan memulakan pembinaan hospital atau institut kanser di Samarahan ini secepat mungkin.

“Ini yang pertama sekali, projek pusat kanser ini adalah yang pertama seumpamanya dibina di luar kawasan Kuala Lumpur,” ujarnya.

Sementara Abang Johari dalam ucapannya, menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas persetujuan tersebut yang pasti akan memantapkan lagi sektor kesihatan di negeri ini.

“Kerajaan Pusat telah bersetuju untuk menubuhkan pusat kanser di Samarahan ini. Penubuhan ini pasti akan memantapkan lagi kluster kesihatan yang ada di kawasan ini.

“Selain daripada itu, Samarahan juga merupakan pusat penyelidikan. Langkah ini memperkasa usaha kita untuk memberikan khidmat kesihatan terbaik kepada rakyat, bukan hanya Sarawak tetapi juga rakyat Sabah dan Indonesia,” tambahnya.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, sebelum ini mengesahkan Kerajaan Sarawak bersedia menawarkan RM1 bilion sebagai peruntukan pendahuluan untuk pembinaan pusat tersebut.

Antara cadangannya adalah Kerajaan Negeri menubuhkan pusat itu menggunakan peruntukan sendiri dengan menyediakan peruntukan dari sudut pembangunan fizikal, manakala kemudahan perubatan serta tenaga kerja di bawah Kerajaan Persekutuan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU