Pembinaan SMK Tudan, Miri hampir siap

MIRI: Pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tudan Miri masih diteruskan walaupun tergendala dari segi tempoh masa siap.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata, projek pembinaan sekolah baharu bernilai RM48.3 juta itu kini 92.8 peratus siap.

“Sebaik sahaja pembinaan selesai, kontraktor akan mengemukakan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) kepada Kerajaan Tempatan sebelum kami boleh meluluskan sekolah ini untuk beroperasi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas sesi lawatannya ke tapak pembinaan di Tudan, semalam. Sebelum ini, sekolah berkenaan dijangka siap pada Julai 2018 sejak pembinaannya bermula pada 2016.

Difahamkan, SMK Tudan Miri dengan keluasan 14.2 hektar termasuk padang bola sepak, dua gelanggang sukan, dewan pelbagai guna, kantin dan surau mampu menampung hampir 1,000 pelajar.

Suara Sarawak