ARTIKEL

Pembuat dasar digesa utamakan kaedah mobiliti yang lebih selamat untuk pengguna jalan raya

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Penggubal dasar dan pihak berkaitan digesa supaya mengutamakan kaedah mobiliti yang lebih selamat bagi pengguna jalan raya dengan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, berbasikal dan mod pejalan kaki berbanding kenderaan persendirian bagi menangani kadar kemalangan jalan raya yang tinggi pada skala global, kata Profesor Dr Kulanthayan KC Mani, Pengerusi Lembaga Pengarah Global Alliance iaitu badan bukan kerajaan (NGO) bagi keselamatan jalan raya.

Beliau membuat gesaan itu sambil berkata pihak berkenaan harus memperuntukkan belanjawan ke arah pembangunan infrastruktur dan mempromosikan ketiga-tiga sektor ini.

“Aspek penting dalam inisiatif ini melibatkan lorong berbasikal dan laluan pejalan kaki yang lebih selamat. 

Daripada jambatan pejalan kaki konvensional, yang tidak praktikal untuk pelbagai pengguna jalan raya seperti warga emas atau kanak-kanak sekolah yang membawa beg berat, lintasan pejalan kaki yang dinaik taraf adalah dicadangkan.

“Pendekatan inklusif ini memastikan ia dapat digunakan untuk semua individu,” katanya kepada Bernama sambil meminta penggubal dasar memikirkan semula kaedah mobiliti yang lebih selamat selaras dengan gesaan yang dibuat ketika Minggu Keselamatan Jalan Raya Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketujuh baru-baru ini bertemakan ‘Rethink Mobility’ dari 15-21 Mei.

Dr Kulanthayan yang merupakan Ketua Kumpulan Penyelidikan Pencegahan Kecederaan dan Promosi Keselamatan Putra di bawah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia berkata di Malaysia, pengangkutan awam menyumbang kurang daripada satu peratus daripada jumlah kematian jalan raya setiap tahun, menjadikannya mod pengangkutan paling selamat.

“Oleh itu, pengangkutan awam harus menjadi pilihan utama dan disyorkan untuk semua pengguna jalan raya,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata jalan raya adalah milik semua pengguna jalan raya, termasuk penunggang basikal dan pejalan kaki, oleh itu, pihak berkuasa kerajaan tempatan, perumahan, dan pemaju bangunan digalakkan untuk memperuntukkan laluan penunggang basikal dan pejalan kaki dalam rancangan bandar mereka.

“Kemudahan infrastruktur berbasikal yang selamat dan ciri mesra pejalan kaki akan menyumbang kepada sistem pengangkutan yang lebih mampan dan inklusif,” tambahnya.

Beliau juga mengesyorkan bahawa perancangan guna tanah harus dioptimumkan untuk memastikan kawasan kejiranan dan sekolah berada dalam jarak yang dekat sambil menekankan bahawa pengaturan ini akan membolehkan kanak-kanak berjalan atau berbasikal ke sekolah, mengurangkan pergantungan kepada kenderaan.

“Membina sekolah baharu jauh dari jalan raya yang sibuk dan menempatkannya di dalam kawasan perumahan akan memastikan perjalanan lebih selamat untuk pelajar, menggalakkan mod pengangkutan yang aktif dan sihat,” tambahnya.

Dr Kulanthayan menegaskan bahawa negara yang mempunyai kadar penggunaan motosikal yang tinggi cenderung mengalami peningkatan insiden kemalangan jalan raya dan kematian.

Beliau mencadangkan beberapa pendekatan berkesan untuk menangani isu ini: menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, melaksanakan langkah pengurangan kelajuan untuk semua kenderaan, dan menggalakkan penggunaan produk keselamatan.

“Strategi komprehensif ini, sering dirujuk sebagai pendekatan serampang tiga mata, memberi tumpuan kepada mengurangkan pendedahan kepada risiko, mencegah kemalangan dan meminimumkan kecederaan.

“Terutamanya, negara-negara yang telah mencapai kemajuan ketara dalam keselamatan jalan raya, seperti Norway, Sweden, UK, Australia, dan Jepun, telah membuat pelaburan besar dalam sistem pengangkutan awam berasaskan rel,” tambahnya.

Dr Kulanthayan menekankan intervensi yang menjanjikan mengenai keselamatan jalan raya di Malaysia iaitu kemasukan Pendidikan Keselamatan Jalan Raya dalam kurikulum sekolah untuk pelajar berumur tujuh hingga 16 tahun.

“Tambahan pula, kanak-kanak prasekolah kini didedahkan dengan pendidikan keselamatan jalan raya.

Inisiatif ini mempunyai potensi besar, tetapi kejayaan dan keberkesanannya bergantung kepada usaha kolektif sekolah, guru, pelajar, dan ibu bapa,” kata anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan yang pernah menerima Anugerah Keselamatan Jalan Raya Antarabangsa Prince Michael pada 2017. – BERNAMA

BERITA LAIN

PM Thailand disahkan positif COVID-19

BANGKOK, Thailand: Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin, mengesahkan semalam bahawa beliau positif COVID-19. Srettha mengumumkan di akaun rasmi X miliknya bahawa beliau akan mengambil cuti

BERITA TERBARU