Pembukaan ekonomi bukti Sarawak lepasi fasa kritikal

KUCHING: Pembukaan beberapa aktiviti ekonomi di negeri ini dinilai dengan enam kriteria, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Chin Zin Hing. Menurutnya, kriteria pertama ialah Sarawak berjaya mencapai kadar 1.38 – kadar mingguan kes – pada minggu ke-18 berbanding pencapaian peringkat nasional iaitu 1.32.

“Kriteria kedua ialah Sarawak menggunakan sepenuhnya kapasiti kesihatan sedia ada dengan melakukan aktiviti seperti mengesan, menyaring, mengasing dan menjejak semua kontak rapat yang dikenal pasti.

“Bagi aktiviti mengesan, beberapa inisiatif telah dilakukan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) iaitu membangunkan sistem pemberitahuan dalam talian, pengesanan secara aktif (ACD) dan menubuhkan Pasukan Bertindak untuk memperhebatkan penjejakan kontak.

“Aktiviti menyaring pula, tempoh keputusan dari 48 hingga 72 jam bergantung kepada bilangan sampel,” katanya pada sidang media harian pandemik Covid19 yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di sini kelmarin.

Tambah Zin Hing, JPBN menempatkan seramai 7,712 individu di bawah siasatan (PUI) di 53 pusat kuarantin seluruh Sarawak. Sementara itu katanya, seramai 5,972 individu di bawah pemantauan (PUS) ditempatkan di 31 hotel bagi rakyat Sarawak yang balik dari luar negara, Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan sebelum mereka boleh balik ke rumah masing-masing.

“Dalam menjejaki kontak pula, pihak Sains dan SMA membangunkan aplikasi Covid Trace untuk mengesan kontak yang dikhuatiri dan pesakit Covid-19 sedia ada. “Kesiapsiagaan hospital bagi merawat pesakit Covid-19 disediakan sebelum kes pertama dilaporkan,” tegasnya.

Jelasnya, Sarawak menyediakan empat hospital utama Covid19 iaitu Hospital Umum Sarawak (HUS), Hospital Sibu, Hospital Bintulu dan Hospital Miri untuk merawat kes Covid-19. Katanya lagi, peralatan perlindungan diri (PPE) juga dinilai boleh bertahan lebih dari 30 hari lagi.

“Sehubungan itu, kesemua kes positif Covid-19 dirawat di empat hospital utama apabila sebanyak 350 kes bersamaan dengan 64.58 peratus telah sembuh dan discaj dari hospital. “Kriteria ketiga ialah risiko wabak diminimumkan dalam keadaan khas yang terdiri daripada dua kategori,” ujarnya.

Jelas Zin Hing, kategori pertama ialah kemudahan kesihatan bagi mengawal petugas kesihatan daripada dijangkiti Covid-19 dan garis panduan yang lebih ketat telah dikeluarkan Beliau menambah, kategori kedua ialah rumah penjagaan yang perlu melaksanakan langkah-langkah pencegahan.

“Kriteria keempat ialah langkah pencegahan mesti dilaksanakan di tempat kerja dan tempat yang lazim dikunjungi orang ramai seperti pasar raya. “Kelima, kes import terkawal (kuarantin dan saringan) apabila warga asing masih tidak dibenarkan masuk ke Sarawak.

“Malah, semua warga Sarawak yang balik dari luar negara akan dikuarantin di pusat kuarantin manakala warga Sarawak yang balik dari Semenanjung, Sabah dan Labuan akan dikeluarkan Notis Duduk di Rumah serta kawalan di pintu masuk di sempadan juga diperketatkan,” ujarnya.

Beliau turut berkata, kriteria terakhir ialah masyarakat telah dididik sepenuhnya dan diberi kuasa untuk menyesuaikan diri dengan kelaziman baharu.

Suara Sarawak