
KUCHING: Seorang lelaki tempatan didenda RM1,500 atau penjara satu bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana merosakkan pintu kereta individu lain dalam satu kejadian buli jalan raya, Ahad lepas (30 Oktober).
Majistret Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman terhadap John Clancy Jiki, 29, mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Menurut pertuduhan, dia didakwa sengaja melakukan khianat merosakkan pintu kereta jenis Honda City milik lelaki berusia 57 tahun.
Dia didakwa melakukan perbuatan terbabit di Jalan Batu Kawa, sekitar jam 4.20 petang, 30 Oktober lalu.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Menurut fakta kes, semasa kejadian di Jalan Batu Kawa kira-kira jam 4.20 petang, pengadu merupakan anak lelaki mangsa yang sedang memandu kenderaan bapanya, tiba-tiba laluannya dihalang oleh sebuah kereta jenis Perodua Bezza.
Akibat kejadian itu, pengadu terpaksa memberhentikan keretanya ke tepi jalan raya. Tertuduh yang marah lalu membuka pintu kereta pengadu dengan kuat hingga menyebabkan kerosakan pada dinding pintu kereta.
Bimbang akan keselamatan diri dan kerosakan yang dialami, pengadu kemudian tampil membuat laporan
Polis untuk tindakan lanjut seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh pada 31 Oktober lepas(Isnin).
Hasil siasatan mendapati tertuduh telah melakukan khianat dengan merosakkan dinding kereta milik mangsa hingga menyebabkan kerugian sekitar RM150.




