Pemburu Malaysia dicari

KUCHING: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) meminta orang ramai membantu mengesan pemilik akaun Facebook bernama Pemburu Malaysia susulan penyiaran aktiviti menyembelih hidupan liar.

Ketua Pegawai Eksekutif SFC yang juga Pengawal Kehidupan Liar Zolkipli Mohamad Aton berkata, tindakan itu untuk memudahkan pengesahan berita yang tular berkenaan termasuk mengetahui pemilik akaun tersebut.

“Setelah membuat pemeriksaan dan penyiasatan terhadap laman FB tersebut, didapati rata- rata ahli terdiri daripada warga Malaysia.

“Kegiatan ini mempengaruhi pemburu tempatan di Sarawak yang mula bergabung dengan kumpulan itu dan berkongsi memuat naik aktiviti masing- masing di halaman yang sama,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, jabatan itu kini dalam proses untuk mengesahkan berita tersebut di samping mengesan pemilik sebenar akaun FB melalui kerjasama orang ramai.

Jelasnya, tindakan menular isu tersebut hanya mempengaruhi siasatan.

“Ini kerana suspek dipercayai akan bertindak untuk membuang paparan yang disiarkan bagi mengelak ia dikesan.

“Terdapat beberapa proses dan prosedur yang perlu diikuti dalam siasatan ini dan ia memerlukan masa.

“Saya berharap semua pihak dapat bersabar dan memberi ruang kepada kami untuk menjalankan tugas.

Sebarang perkembangan akan kami maklumkan,” jelasnya lagi.

Zolkipli juga menegaskan aktiviti memburu hidupan liar hanya dibenarkan di Semenanjung Malaysia dan Sabah.

Ini Sarawak tidak mengeluarkan sebarang lesen memburu manakala lesen senjata api yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa hanya untuk perlindungan tanaman.

Bagaimanapun, bagi penduduk tempatan yang menyara kehidupan dengan aktiviti berburu, ia hanya dibenarkan di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 kerana ia merupakan hak bagi penduduk asli.

Baru-baru ini, telah tular beberapa artikel mengenai kemarahan terhadap penyembelihan hidupan liar secara terang-terangan yang didakwa dilakukan oleh kumpulan pemburu Sarawak – yang disiarkan akhbar nasional pada 15 Mei dan paparan FB oleh Pusat Pemuliharaan Beruang Sun Borneo pada 13 Mei.

Artikel tersebut mendakwa aktiviti pemburuan yang disiarkan di laman FB Pemburu Malaysia berlaku di Sarawak.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan haram tersebut diminta untuk melaporkan ke talian hotline SFC-Kuching (019-8859996, 013-8110150), Sibu (019- 8883561), Bintulu (019-8223449, 019-8332737), atau Miri (019- 8224566, 019-8290994).