ARTIKEL

Gambar Hiasan

Pemecatan salah: Bekas pengurus menang saman terhadap BNM

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bahawa pemecatan bekas pengurus Bank Negara Malaysia (BNM) kerana menyertai aktiviti politik pada 2016 sebagai tidak sah dan menyalahi undang-undang.

Hakim Datuk Ahmad Bache membuat keputusan itu selepas membenarkan saman yang difailkan oleh Y.Kohila, 48, selaku plaintif, terhadap BNM yang dinamakan sebagai defendan, pada 2018.

Pada Mei 2017, plaintif telah diberikan surat tunjuk sebab oleh BNM kerana menyokong sebuah parti politik dan mengambil bahagian dalam perhimpunan awam yang dianjurkan oleh parti itu pada 2016.

Mahkamah turut membenarkan permohonan wanita itu untuk memperoleh deklarasi bahawa pemecatannya adalah melanggar kontrak pekerjaan dan menetapkan 29 April depan bagi memutuskan taksiran ganti rugi serta kos.

Semasa membacakan penghakimannya, Ahmad berkata plaintif tidak diberikan hak untuk didengar yang merupakan pelanggaran keadilan semula jadi semasa inkuiri dalaman dan proses rayuan selepas itu.

Beliau berkata akibat tindakan yang tidak adil dan tidak munasabah itu, Kohila telah mengalami kerugian.

Hakim itu turut menjelaskan bahawa semasa inkuiri dalaman, permintaan plaintif untuk mengemukakan saksi dan diwakili peguam pilihannya telah ditolak manakala dokumen bagi mempersiapkan kes turut dinafikan.

Baca lain  Gempa bumi sederhana di Kepulauan Ryukyu, Jepun

 “Keputusan itu telah meletakkan plaintif dalam keadaan tidak menguntungkan dan beliau tidak dapat membela diri.

“Beliau juga telah diberikan masa yang terhad untuk menyoal balas saksi bank,” katanya sambil menambah Kohila juga tidak dibenarkan memberi keterangan dan menyatakan versi beliau.

Inkuiri pada Mei 2017 itu telah mendapati Kohila bersalah dan Jawatankuasa Tatatertib bank berkenaan kemudian memutuskan untuk memecatnya, yang menurut Ahmad adalah satu keputusan yang tidak adil.

Beliau juga berkata plaintif tidak dipanggil untuk hadir di hadapan jawatankuasa itu untuk mengemukakan rayuan sedangkan pasukan inkuiri dan pegawai bank dari Jabatan Sumber Manusia berada di sana.

“Berlaku satu lagi pelanggaran dalam keadilan semula jadi apabila beliau tidak dapat mengemukakan hujahan untuk rayuan di hadapan jawatankuasa itu,” katanya.

Pada Jun 2017, Jawatankuasa Tatatertib telah memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan plaintif atas tiga pertuduhan salah laku di bawah Kod Etika 2012.

Kohila, yang memfailkan saman itu pada 2018, adalah Pengurus Muzium, Galeri Seni dan Pusat Pengurusan Ilmu Pengetahuan BNM.

Baca lain  Sabah pantau kesan letusan Gunung Ruang, keselamatan rakyat diutamakan - Hajiji

Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan, Gokul Radhakrishan, Sarah Ho serta KS Bawani mewakili Kohila manakala Steven Thiru dan Janice Teo hadir bagi pihak bank.

-BERNAMA

NOTIS TENDER

BERITA LAIN

BERITA TERBARU