BINTULU: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) mengingatkan semua pemegang Lesen Operasi Perniagaan di bawah agensi itu supaya memperbaharui lesen masing-masing pada atau sebelum 31 Disember depan.
BDA dalam kenyataannya berkata, pemegang lesen perlu memastikan lesen operasi perniagaan sentiasa sah dan diperbaharui dalam tempoh yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan.
Menurut kenyataan itu, lesen yang tidak diperbaharui selepas tarikh akhir berkenaan akan terbatal, manakala mana-mana pihak yang menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah boleh dikenakan kompaun.
“Langkah ini penting bagi memastikan operasi perniagaan dijalankan secara sah dan mematuhi peraturan yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
Pihak BDA turut menasihatkan pemegang lesen supaya tidak menunggu sehingga saat akhir untuk membuat pembaharuan bagi mengelakkan sebarang kesulitan atau tindakan penguatkuasaan akibat kegagalan mematuhi tempoh yang ditetapkan.




