Pemergian ASP Aldrin Gonda kehilangan besar PDRM

SERIAN: “Dia sepatutnya akan temuduga jawatan Deputi Superintendan (DSP) tidak lama lagi, tetapi takdirnya lebih awal,” kata pegawai kanan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjek (IPK) Sarawak, Superintendan Ernest John mengenai mendiang Asisten Superintendan (ASP) Aldrin Gonda.

Justeru, katanya pemergian mendiang adalah satu kehilangan besar kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan negara.

“Mendiang adalah seorang pegawai yang sangat berdedikasi, mempunyai masa depan yang cerah, sangat patuh malah tidak pernah disabit kesalahan tatatertib.

“Kami kehilangan seorang pegawai yang sangat baik dan berkebolehan,” katanya ketika ditemu-bual semasa menghadiri upacara pengebumian mendiang ASP Aldrin di tanah perkuburan Kampung Terbat Leban, di sini hari ini.

Menurut Ernest, beliau amat mengenali mendiang dan bersahabat baik dengannya.

Katanya mereka mula berkawan sejak bersama-sama bertugas di IPK Perak, di mana beliau menjadi Timbalan Ketua Polis Daerah Sungai Siput manakala mendiang di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah.

“Kemudian dia (mendiang ASP Aldrin) bertukar ke Pulau Pinang dan seterusnya ke Kedah di IPD Alor Setar sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik.

“Saya juga di Alor Setar bertugas dalam Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPK Kedah.

“Kami selalu berjumpa, minum, makan, lepak dan sembahyang bersama,” katanya.

Ernest berkata mendiang adalah seorang yang pendiam dan rendah diri.

“Dia juga sangat ringan tulang, bagi saja kerja dengannya memang siap,” katanya.

Sehubungan itu, beliau amat lega apabila jasad mendiang dapat dibawa balik untuk dikebumikan di kampung halamannya walaupun ketika ini tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mendiang ASP Aldrin, 38, yang merupakan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, Kedah meninggal dunia selepas kereta peronda dinaiki bersama dua anggotanya terbabas dan terbalik di lampu isyarat Arkib Negara, Alor Setar, Kedah pada Ahad.

Dalam kejadian pada jam 11.30 pagi itu, mendiang meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah manakala dua lagi anggotanya masing-masing luka di kepala dan kedua-dua kaki.