Pemerkasaan pematuhan SOP Covid-19 di Kuching

KUCHING: Seramai 950 orang membabitkan 241 pasukan daripada pelbagai agensi akan digerakkan untuk memperkasakan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di Kuching, bermula esok.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata agensi terlibat ialah polis, tentera, Rela, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Unit Keselamatan Negeri Sarawak, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Perpaduan Negara.

“Objektif ini adalah untuk menguatkuasakan SOP sedia ada, meningkatkan tahap pematuhan SOP dalam kalangan masyarakat dan memaksimumkan kehadiran anggota penguatkuasaan di tempat-tempat tumpuan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media perkembangan Covid-19 yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas di bangunan Dewan Undangan Negeri (Dun) lama di sini, hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata 15 zon penugasan akan diwujudkan mengikut pentadbiran Balai Polis di kedua-dua Ibu Pejabat Polis yang terlibat iaitu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dan IPD Padawan.

Katanya zon di IPD Kuching ialah Balai Polis Sentral, Balai Polis Gita, Balai Polis Sekama, Balai Polis Satok, Balai Polis Sungai Maong, Balai Polis Padungan, Balai Polis Santubong, Balai Polis Tabuan Jaya dan Balai Polis Bintawa.

Manakala di IPD Padawan ialah Balai Polis Kota Sentosa, Balai Polis Batu Kawa, Balai Polis Batu 10, Balai Polis Siburan, Balai Polis Tapah dan Balai Polis Beratok.

“Pelaksanaan penguatkuasaan ini akan menumpukan tempat dan lokasi yang menjadi tumpuan orang awam seperti pasar basah, pusat beli-belah, pasaraya, kedai, tempat makan, tempat riadah termasuk kawasan perumahan, flat dan kampung,” katanya.

Aidi menambah masa penugasan pasukan pematuhan adalah dipecahkan kepada tiga waktu iaitu pada jam 6 hingga 10 pagi yang menumpukan kawasan pasar tani, pasar basah dan pasar tamu, jam 10 pagi hingga 5 petang (pusat beli-belah, pasaraya, kedai dan tempat makan) dan jam 7 hingga 10 malam (Tebingan Kuching, bistro, tempat makan dan lain-lain).

Menurutnya, kaedah penugasan adalah dengan membuat rondaan berjalan kaki, statik di kawasan tumpuan orang ramai dengan kenderaan atau menggunakan konsep Ops Payung, menggunakan pembesar suara MPV di kawasan tumpuan orang ramai dengan menasihati mematuhi SOP dan memasang siren atau lampu becon untuk menandakan kehadiran polis.

Dalam pada itu, Aidi berkata orang ramai juga boleh menyalurkan aduan tentang pelanggaran SOP kepada polis melalui hotline IPD Kuching di talian 082-244444 dan IPD Padawan 082-862233.

Sementara, Uggah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata penguatkuasaan pematuhan SOP Covid-19 ini adalah atas arahan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Ini adalah arahan Ketua Menteri kerana kita mahu rakyat terus mematuhi SOP dan tidak berkumpul agar kita dapat mengekang penularan Covid-19,” katanya.