ARTIKEL

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani. - Foto: YouTube

Pemilihan calon bertanding pilihan raya perlu lebih dinamik

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BENTONG, Pahang: Pemilihan seseorang untuk menjadi calon bertanding dalam pilihan raya seharusnya tidak terikat dengan kaedah lama, sebaliknya perlu lebih dinamik merentasi semua parti dalam Kerajaan Perpaduan, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu mempunyai sikap “give and take” (bertolak ansur) dalam pemilihan calon bagi memastikan kemenangan.  

“Strategi politik merangkumi banyak benda, antaranya calon, gerak kerja, kesesuaian kawasan yang nak ditandingi, dan sama ada kita ada pemimpin (bersesuaian) di kawasan itu.

“Kalau dalam sesuatu kawasan itu kita tak ada calon yang bagus, tetapi calon lain lebih bagus dalam Kerajaan Perpaduan (parti gabungan) mungkin ada, kita kena ‘give and take’ dan dinamik.

“Tak boleh ini kawasan saya menang, jangan masuk campur,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Bentong di sini hari ini.

Sementara itu Johari, yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, memaklumkan calon pilihan raya yang dikenal pasti harus dilatih lebih awal untuk mendekati masyarakat, termasuk menjadi “pembangkang” kepada wakil rakyat yang tidak buat kerja. 

Ditanya tentang gerak kerja Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Kelantan, beliau berkata UMNO sedang meneliti latar belakang kawasan tersebut.

“UMNO buat keputusan akan bertanding, jadi nanti dah kenal calon, kita cerita. Kita ada kumpulan di UMNO sedang buat latar belakang mengenali kawasan dan sebagainya,” kata Johari. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 3 dan 13 Ogos. 

Kekosongan luar jangka kerusi DUN Nenggiri berlaku selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-undang Tubuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim, pada 13 Jun lepas.

Mohd Azizi gugur keahlian dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kerusi DUN berkenaan diumumkan kosong pada 19 Jun lepas oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah. – BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU