KUCHING: Pemilihan ungkapan ‘Segulai Sejalai’ dalam bahasa Iban di Sarawak sebagai cogan kata perpaduan negara merupakan pengiktirafan kepada Sarawak dan semangat perpaduan di negeri ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan berkata, ungkapan tersebut bersesuaian dengan agenda perpaduan negara memandangkan Sarawak merupakan lambang bagi masyarakat yang hidup bersatu meskipun berbilang kaum.

“Pemilihan cogan kata tersebut membuktikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat Sarawak sebagai contoh perpaduan bagi negeri-negeri lain di Malaysia dan perpaduan ini telah kita amalkan sejak 1970an lagi.
“Disebabkan itu kita dapat duduk semeja dan cogan kata itu diguna pakai sebagai moto kebangsaan.
Kita perlu mengekalkan perpaduan yang mencerminkan bahawa etnik-etnik kita dapat bergaul dan bekerjasama antara satu sama lain.
“Ia merupakan tindakan yang baik dilakukan oleh Perdana Menteri,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran KUPIKUPI FM Sarawak di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Anwar dilaporkan berkata ungkapan ‘Segulai Sejalai’ dalam bahasa Iban di Sarawak akan digunakan sebagai cogan kata perpaduan bagi seluruh negara.
Menurutnya, beliau tertarik dengan ungkapan tersebut yang menjadi moto bagi Majlis Sambutan Gawai Dayak Peringkat Kebangsaan yang dihadirinya di sini baru-baru ini.
“Maknanya mana-mana saya pergi, bila berbicara soal kesatuan, perpaduan dan bekerjasama, perkuatkan, maka saya akan sebut ‘Segulai Sejalai’,” katanya dalam ucapannya pada majlis tersebut.