KUCHING: Kejayaan tidak semestinya berjalan dengan lancar, kerana pasti ada suka dan duka untuk berjaya.
Begitu juga dengan perniagaan yang perlu berdepan pelbagai cabaran, namun kejatuhan sesuatu perniagaan bukanlah asbab untuk berputus asa.
Pernah tular ketika Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), air minuman berkrim dari Korea Selatan iaitu dalgona perisa kopi menjadi permulaan perniagaan seorang suri rumah.
Menurut Lidia Jafar, 38, yang berasal dari Kuching, penjualan makanan dan minuman di tepi rumah yang dinamakan Kamek Maok, merupakan punca rezekinya sehingga kini.
“Seperti sedia maklum, peluang pekerjaan akibat PKP adalah sangat tipis dan banyak orang hilang pekerjaan serta pendapatan.
“Jadi, saya cuba untuk memulakan perniagaan semasa PKP pada 2020 dengan menjual dalgona perisa kopi yang tular ketika itu.
“Ia adalah antara cara untuk menambahkan pendapatan sampingan keluarga kami,” katanya kepada Suara Sarawak.
Dalgona kopi merupakan resipi popular ketika PKP dan ramai yang mencuba resipi itu, namun kebanyakan gagal menghasilkannya.
Lidia mengambil kesempatan itu untuk berniaga kerana menu tersebut tidak mempunyai banyak saingan yang juga menjadi kemuncak perniagaannya berjalan dengan lancar.
Susulan jualan dalgona begitu laris, Lidia mengambil keputusan untuk mengeluarkan pelbagai jenis perisa dalgona seperti gula apong, teh hijau dan coklat yang merupakan resipi olahannya.
Harga jualan minuman itu ditetapkan dalam lingkungan RM5 hingga RM15 dengan menawarkan rasa premium.
Pelanggan Lidia pula sentiasa mengulang pesanan itu disebabkan harganya yang mampu milik dan hampir serupa dengan minuman dijual di pusat beli-belah.
Dedah Lidia, dia pernah menghadapi kekurangan tenaga kerja apabila perniagaannya semakin dikenali oleh orang ramai.
“Cabaran saya bermula ketika tenaga kerja tidak cukup susulan mendapat permintaan sangat tinggi.
“Saya terpaksa meminta pertolongan daripada adik-beradik saya untuk mengambil pesanan daripada pelanggan serta membuat pesanan pelanggan.
“Begitu juga perniagaan saya ketika menyewa gerai di Lok Lok Jalan BanHock pada 2022, perniagaan kami semakin dikenali tetapi ketika itu hanya saya dan suami yang bekerja,” jelasnya.
Namun kata Lidia, ketika pemergian bapanya semasa berniaga di Lok Lok, menyebabkan dia menutup gerai itu dan berniaga semula di rumah.
Harga barangan yang kian meningkat turut menyebabkan perniagaan Kamek Maok menurun pada 2022 hingga kini kerana jualan mereka tidak mendatangkan pulangan yang banyak.
Menurut pemilik Kamek Maok itu, menu kemudian dikurangkan dan mereka hanya menjual menu yang kerap dibeli oleh pelanggan seperti dalgona perisa coklat dan gula apong.
Walaupun perniagaan tidak stabil seperti mula-mula berniaga, Lidia tidak pernah berputus asa dalam perniagaan, malah meneruskan perjuangannya sehingga kini.
“Zaman sekarang, berniaga mestilah ikhlas dan bukan setakat nyaman dan bersih tetapi hati seorang peniaga juga haruslah bersih.
“Dalam perniagaan, kita tidak perlu dengki dengan sesiapa pun kerana masingmasing sudah tertulis rezekinya,” ujarnya yang berharap agar dapat membuka satu tempat khas untuk makanan dan minuman.
Selain dalgona, Kamek Maok juga menyediakan menu seperti krim Jangung berkeju, bungsu, lempeng kecil (baby pancake) dan cucur.
Bagi yang ingin merasai air tangan Lidia, anda dialu-alukan ke kedai Kamek Maok yang terletak di Kampung Tabuan Haji Drahman atau hubunginya di talian 013-8085786 atau layari Facebook Lidia Jafar