Pemimpin agama puji Unifor

KUCHING: Pengerusi Persatuan Gereja-gereja di Sarawak (ACS) dan Uskup Agung Katolik Roma Kuching, Simon Poh menganggap keputusan Kerajaan Sarawak untuk membina bangunan tetap Unifor tepat pada masanya.

“Kompleks Unifor harus menjadi simbol komitmen untuk kebebasan beragama, keharmonian kaum, penerimaan dan penghormatan bersama terhadap semua agama di Sarawak,” katanya.

Beliau percaya apabila kompleks itu siap kelak, ia akan berfungsi untuk memajukan agensi dengan menganjurkan acara antara agama untuk membina keharmonian dan perpaduan rakyat.

“Bersama-sama Pusat Maklumat Islam yang dibina di jalan yang sama, (Jalan Ong Tiang Swee), Kompleks Unifor menjadi pelengkap untuk memberi manfaat kepada semua agama lain di Sarawak,” katanya.

Setelah beberapa tahun berkolaborasi dalam banyak hal secara bersama melalui pertemuan Unifor, Uskup Agung Poh berkata, kini sudah ada persahabatan, kepercayaan dan hubungan yang lebih besar antara pelbagai pemimpin agama. Uskup Gereja Anglikan di Sarawak dan Brunei Rt Rev Danald Jute pula berpendapat, status Unifor harus diubah dari unit ke jabatan sebagai refleksi kepentingannya.

“Ini baik demi peranan penting yang dimainkannya dan keperluan yang harus dipenuhi,” katanya.

Beliau memaklumkan, Unifor tidak hanya membantu membangunkan rumah ibadah secara fizikal, tetapi lebih penting pembangunan dan peningkatan hidup bersama-sama.

Sementara itu, Presiden Kuil Sri Maha Mariamman Shankar Ram Asnani berkata, mempunyai bangunan dan dana sendiri akan membolehkan penganut agama bukan Islam menjalankan fungsi dan acara keagamaan mereka.

Jelasnya, agama bukan Islam yang dipraktikkan di Sarawak telah membentuk majoriti, sekali gus berhak mendapat dana yang sewajarnya.

Presiden Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian Datuk Richard Wee menyifatkan Kompleks Unifor sebagai pemakluman penting Kerajaan Sarawak untuk menggambarkan keharmonian agama, budaya yang unik serta nilai masyarakat di negeri ini.

“Mempunyai premis penting untuk semua agama lain menjadi sebahagian usaha mempromosi dan meningkatkan kebebasan beragama serta keharmonian yang kita banggakan di negeri ini,” katanya, sambil menambah, semua rakyat Sarawak harus bangga dengan Unifor.

Lon menjelaskan, Unifor beruntung kerana semua kumpulan agama bukan Islam di Sarawak bekerjasama dan memberikan maklum balas serta input tentang kegiatan semasa kepada mereka.

“Kami menasihati badan keagamaan untuk mendaftar secara sah yang membolehkan mereka memohon bantuan daripada Unifor.

“Penghargaan juga atas keprihatinan dan bantuan Kerajaan Sarawak untuk agama-agama bukan Islam,” tambahnya.

Suara Sarawak