Pemimpin berperwatakan sederhana

MIRI: Mantan Ahli Parlimen Sibuti Allahyarham Datuk Ahmad Lai Bujang merupakan pemimpin berjiwa rakyat yang memulakan kerjaya politiknya dari akar umbi hingga berjaya menjadi Ahli Parlimen Sibuti, kata Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni

Menurutnya, Allahyarham merupakan pemimpin yang mempunyai perwatakan sederhana, mudah menerima pandangan dan banyak menabur jasa kepada pembangunan Sibuti.

Lukanisman yang mewakili masyarakat Sibuti merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Allahyarham, 69, meninggal dunia pada pukul 5.32 pagi semalam, di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur dan meninggalkan seorang isteri,enam anak dan 12 cucu.

“Sikap beliau disenangi oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia, umur dan bangsa.

“Saya secara peribadi banyak menerima didikan politik daripada beliau,” ujarnya yang dipilih sebagai pengganti Allahyarham pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, tahun lalu.

Lukanisman berkata, beliau tetap memberi sokongan padu kepada politik semasa Sarawak dan kerap memberi pandangannya walaupun sudah bersara.

“Saya tahu beliau yang bersifat penyabar sangat menyayangi masyarakat Sibuti dan Sarawak.

“Pembawaan politik yang sederhana sering kali disalah erti sesetengah pihak, tetapi beliau tetap berpesan kepada semua orang bahawa kesetiaan adalah kunci kepada sesiapa yang ingin berpolitik,” jelas Lukanisman

Ujarnya lagi, jasa Allahyarham akan sentiasa dikenang dan menjadi inspirasi kepada sesiapa yang mengenali beliau.