KUCHING: Pemuda GPS mempersoalkan Dap Sarawak tidak bersuara apabila banyak projek infrastruktur di pedalaman dibatalkan oleh Kerajaan PH.
Dalam satu kenyataan bersama Ketua Pemuda Parti PBB Gerald Rentap Jabu; Ketua Pemuda PRS Datuk Snowdan Lawan; Ketua Pemuda SUPP Micheal Tiang Ming Tee dan Ketua Pemuda PSPDP Robert Ayu semalam berkata, pemimpin Dap hanya membisu dan langsung tidak bersuara untuk mempertahankan Sarawak.
“Semua projek termasuk Jambatan Batang Lupar, Jambatan Batang Rambungan dan Batang Igan yang sudah diluluskan kerajaan terdahulu untuk Sarawak dibatalkan selepas PH berkuasa.
“Dimana suara Dap Sarawak ketika banyak projek infrastruktur di pedalaman Sarawak dibatalkan dan Kerajaan PH yang enggan menyediakan bajet untuk sekolah daif serta keengganan Petronas membayar lima peratus cukai petroleum?
“Banyak lagi kepentingan Sarawak terjejas. Antarnya pemimpin PH menyuarakan niat menghapuskan autonomi Imigresen Sarawak, memindahkan pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Borneo ke Sabah, melantik warga Malaya sebagai Pengerusi Unimas dan banyak lagi,” katanya.
Pemuda GPS turut menyoalkan tindakan Dap Sarawak membisu dan hanya bersuara menyalahkan GPS apabila mereka hilang kuasa.
“Mereka mencipta seribu satu alasan untuk menyalahkan GPS,” katanya.
Pemuda GPS turut menyatakan Dap juga menakut-nakutkan rakyat Sarawak dengan kehadiran Umno dan Pas dalam Perikatan Nasional (PN).
“Hala tuju perjuangan GPS adalah tetap berdiri atas kapasiti entiti politik Sarawak dan tidak akan menyertai Muafakat Nasional mahupun PN.
“Mungkin Dap dan PKR sudah lupa bahawa mereka pernah tidur sebantal dengan Pas dalam Pakatan Rakyat,” jelasnya.