ARTIKEL

Pemimpin muflis idea

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

ADUN Pending pernah membangkitkan isu penggunaan jet peribadi oleh Premier pada 2023. Sekali lagi pada minggu lalu, beliau membangkitkan isu yang sama walaupun telah diberi penjelasan panjang lebar sebelum itu. Apakah motif dan agenda beliau? Adakah pemimpin wanita DAP itu sudah ketandusan isu dan idea?

Kenyataan Violet Yong yang mempersoalkan kesediaan Premier Sarawak menggunakan penerbangan komersial termasuk AirBorneo bagi urusan rasmi mungkin kedengaran menarik dari sudut politik. 

Namun apabila dinilai secara objektif, persoalan tersebut lebih bersifat retorik berbanding mengambil kira realiti pentadbiran sebuah negeri yang semakin pesat membangun serta mempunyai tanggungjawab yang jauh lebih kompleks daripada sekadar memilih pesawat komersial atau jet eksekutif.

Hakikatnya, bagi mereka yang berfikiran waras, cadangan tersebut adalah sesuatu yang tidak praktikal dan hanya bertujuan mempolitikkan isu yang sebenarnya mempunyai asas yang kukuh. 

Saya hendak menegaskan, adalah tidak masuk akal sama sekali untuk mengharapkan seorang ketua kerajaan yang mempunyai jadual rasmi padat serta tanggungjawab keselamatan bergantung sepenuhnya kepada penerbangan komersial. 

Jika Violet Yong bersikap objektif, mengapa beliau tidak meminta Perdana Menteri untuk menaiki pesawat komersial seperti AirAsia atau MAS untuk urusan rasmi di dalam dan di luar negara? 

Hakikatnya, jet eksekutif bukan simbol kemewahan atau keistimewaan peribadi. Ia merupakan aset strategik kerajaan yang diwujudkan bagi memastikan kelancaran urusan pentadbiran. 

Tahukah Violet Yong bahawa masa merupakan aset paling berharga bagi seorang Premier? Pemimpin politik yang berakal singkat itu perlu meneliti jadual rasmi Premier untuk urusan di Sarawak, Kuala Lumpur atau di luar negara untuk memahami kepentingan masa. Bayangkan Premier yang terpaksa menunggu berjam-jam di lapangan terbang sebelum menaiki pesawat hanya untuk tunduk kepada desakan Violet Yong?

Dalam sehari, beliau mungkin perlu menghadiri beberapa mesyuarat penting, merasmikan projek pembangunan, bertemu pelabur, mengadakan perbincangan dengan pemimpin Persekutuan, selain melawat kawasan pedalaman yang memerlukan perhatian segera. 

Keupayaan untuk bergerak secara fleksibel dan pantas tanpa bergantung kepada jadual penerbangan komersial membolehkan lebih banyak urusan kerajaan diselesaikan dalam tempoh yang singkat. Takkan perkara seperti ini, yang boleh difahami oleh pelajar sekolah, tidak dapat difahami oleh Violet Yong!

Sarawak bukan sebuah negeri yang kecil. Kawasan geografinya yang luas, dengan banyak penempatan di pedalaman dan pesisiran, memerlukan sistem logistik yang cekap bagi memastikan pentadbiran berjalan lancar. 

Dalam banyak keadaan, penerbangan komersial tidak menawarkan jadual yang memenuhi keperluan rasmi pemimpin yang sibuk seperti Premier. Violet Yong, jangan pura-pura tidak tahu bahawa kadang-kadang Premier di Miri pada sebelah pagi, petang di Sibu, dan malam di Kuching untuk menghadiri segala macam majlis dan acara. 

Sekiranya berlaku kelewatan, pembatalan atau kekangan laluan penerbangan, keseluruhan jadual rasmi Premier boleh terjejas.  

Kelewatan tersebut bukan sekadar menjejaskan seorang individu, malah memberi kesan kepada pelaksanaan projek pembangunan, pelaburan dan urusan yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan. Malah, menjejaskan perjalanan majlis dan orang ramai yang menghadirinya.

Kita tidak perlu ada ijazah PhD untuk memahami realiti ini. Bagaimanakah seorang ADUN seperti Violet Yong boleh berfikir sedemikian cetek berkaitan perkara ini? 

Selain aspek kecekapan, faktor keselamatan juga tidak boleh dipandang ringan. Premier Sarawak bukan sahaja pemimpin politik, malah merupakan individu yang membawa kepentingan strategik negeri dalam pelbagai rundingan di peringkat nasional dan antarabangsa. Setiap pergerakan beliau melibatkan penilaian keselamatan yang teliti oleh pihak berkuasa. 

Penggunaan jet eksekutif membolehkan kawalan keselamatan dilaksanakan dengan lebih berkesan berbanding penerbangan komersial yang perlu mengambil kira ribuan penumpang lain serta prosedur operasi lapangan terbang yang berbeza.

Ada juga pihak yang berhujah bahawa penggunaan AirBorneo oleh Premier boleh meningkatkan keyakinan rakyat terhadap syarikat penerbangan milik negeri ini. Hujah ini pada zahirnya kelihatan menarik, tetapi ia sebenarnya mengelirukan. Kejayaan sesebuah syarikat penerbangan tidak bergantung kepada sama ada Premier menaiki pesawatnya atau tidak.

Sebaliknya, kejayaan AirBorneo akan diukur melalui kecekapan operasinya, rekod keselamatan, ketepatan masa, mutu perkhidmatan, rangkaian destinasi dan daya saing dalam industri penerbangan. Faktor-faktor inilah yang akan menentukan keyakinan pengguna dan kejayaan komersial syarikat tersebut

Bagi tugasan rasmi yang melibatkan jadual padat, beberapa destinasi dalam tempoh singkat atau urusan yang memerlukan tindakan segera, penggunaan jet eksekutif merupakan pilihan yang lebih praktikal. Pendekatan ini diamalkan oleh banyak kerajaan di seluruh dunia, termasuk negara-negara yang sering dijadikan contoh dalam aspek tadbir urus dan ketelusan.

Yang lebih penting ialah memastikan penggunaan jet eksekutif dibuat berdasarkan keperluan rasmi, bukannya untuk kepentingan peribadi. Selagi aset tersebut digunakan bagi melaksanakan tugas kerajaan, mempercepat urusan pentadbiran serta membawa manfaat kepada rakyat, penggunaannya adalah wajar dan boleh dipertahankan.

Pemimpin DAP itu jelas semakin ketandusan isu dan idea sehingga perkara seperti ini dijadikan bahan politik. Dalam sebuah negara demokrasi, sememangnya pembangkang mempunyai tanggungjawab menjalankan fungsi semak dan imbang. Namun semak dan imbang yang berkesan perlu disertakan dengan hujah yang membina, fakta yang lengkap dan cadangan penyelesaian yang realistik. 

Membangkitkan isu yang mengabaikan realiti pentadbiran hanya akan mengalih perhatian daripada perkara-perkara yang lebih penting seperti pembangunan ekonomi, penyediaan infrastruktur, peluang pekerjaan dan peningkatan kesejahteraan rakyat.

Peranan semak dan imbang yang sepatutnya dimainkan oleh pembangkang bukan sekadar mengkritik setiap tindakan kerajaan. Kritikan perlu bersifat membina, dan bukannya hentam kromo. Ia perlu disertai cadangan bernas yang benar-benar memberi nilai tambah kepada pentadbiran negeri. Tanpa pendekatan sedemikian, kritikan yang dibangkitkan mudah dilihat sebagai usaha meraih perhatian politik semata-mata.

Sarawak kini sedang melalui fasa pembangunan yang penting, termasuk usaha memperkukuh ekonomi, menarik pelaburan asing, membangunkan tenaga boleh diperbaharui dan memperluas rangkaian infrastruktur. 

Dalam keadaan ini, setiap minit masa pemimpin tertinggi negeri mempunyai nilai yang besar. Keupayaan untuk bergerak pantas antara lokasi, menghadiri mesyuarat penting dan membuat keputusan segera merupakan sebahagian daripada keperluan kepimpinan moden. Tahukah Violet Yong berapa banyak sudah pelaburan dibawa masuk ke Sarawak oleh Premier dengan jet peribadi itu? Jika beliau tidak tahu, sudah berbilion-bilion ringgit.

Pada kiraan terakhir, persoalan yang patut ditanya bukanlah sama ada Premier menaiki jet eksekutif atau pesawat komersial. Sebaliknya, persoalan sebenar ialah sama ada penggunaan aset kerajaan itu memberikan pulangan kepada rakyat melalui pentadbiran yang lebih cekap, keputusan yang lebih pantas dan pembangunan yang lebih berkesan. 

Jika jawapannya adalah ya, maka penggunaan jet eksekutif bukanlah satu kemewahan, tetapi satu keperluan strategik demi kepentingan Sarawak dan seluruh rakyatnya.

• Dato Dr Jeniri Amir sebagai mantan ahli akademik suka kepada mereka yang berhujah dengan rasional, objektif dan berdasarkan fakta, dan bukannya hujah sendeng yang bersalutkan emosi dan niat jahat.

BERITA LAIN

Jaga data privasi kita

MINGGU lepas, dan sebenarnya banyak minggu, telefon pintar saya memaparkan iklan pelaburan hanya dengan jumlah kecil, tetapi memberikan pulangan lumayan. Bayangkan pelaburan hanya RM500, kita

Wajib bayar HUTANG, jangan tangguh

Hutang merupakan perkara yang lazim dalam kehidupan manusia. Ada yang berhutang untuk memenuhi keperluan keluarga, membeli rumah, mendapatkan kenderaan atau menjalankan perniagaan. Islam tidak melarang

BERITA TERBARU