Trending

Pemimpin pelapis mesti sabar

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

PUSA: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sentiasa melatih pemimpin pelapis muda yang mempunyai sifat sabar dan perasaan belas yang tinggi agar adil kepada semua kaum.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pemimpin bertukar ganti dan apabila tiba masanya, yang muda dilatih bagi menggantikan yang veteran.

“Pemimpin bertukar ganti.

Apabila Datuk Seri Rohani Abdul Karim undur, diganti orang muda – Mohamad Shafizan Kepli di Parlimen Batang Lupar. Begitu juga di DUN Lingga, kita latih orang muda khususnya dalam PBB.

“Menjadi pemimpin bukan senang.

Kita mesti ada cara mengimbangi keperluan rakyat dan tidak boleh mengikut emosi.

“Dan untuk memimpin Sarawak, mesti ada semangat sabar dan belas ihsan kerana kita berkehendak semua kaum agar dibangunkan secara adil…sik dapat kita empun jak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Rumah Terbuka Gawai Raya Peringkat Parlimen Batang Lupar di Dataran Tandang Sari, semalam.

Jelasnya, kalau hendak membangun, perpaduan antara rakyat mesti kuat.

“Sehingga kita dijadikan contoh, misalnya dalam pemilihan Sarawak sebagai lokasi pelancaran Minggu Perpaduan Negara 2023 di Kuching barubaru ini.

“Kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, jika ingin melihat contoh perpaduan yang erat, yang tiada perbezaan walaupun keturunan, agama berlainan…contoh yang jelas adalah di Sarawak.

“Memang benar inilah keunikan Sarawak dari dahulu lagi dan sebenarnya perpaduan yang kukuh itulah asas pembangunan Sarawak.

“Banyak hasil kita yang boleh ditambah nilai kerana Gabungan Parti Sarawak (GPS) kuat, rakyat bersama…kesannya Kerajaan Sarawak dapat menumpukan kepada pembangunan,” ujarnya.

Abang Johari menzahirkan hasrat menjadikan Sarawak sebuah negeri yang mampan dari sudut cuaca dunia dengan menghadkan pengeluaran karbon dan Sarawak memainkan peranan penting.

Beliau menyifatkan ia sebagai tanggungjawab yang dapat diteruskan dalam pembangunan ekonomi.

Rumah Terbuka Gawai Raya Peringkat Parlimen Batang Lupar yang dihadiri kira-kira 2,000 penduduk sekitar berlangsung meriah dan warna-warni. Rata-rata mengenakan pakaian tradisional masing-masing.

Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Mohammad Razi Sitam, Ketua Setiausaha Politik Premier Fazzrudin Abdul Rahman, Shafizan, Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu, ADUN Beting Maro Razaili Gapor, ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor, Residen Bahagian Betong Richard Michael Abunawas turut hadir sama.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru