Pemimpin pelbagai kaum di Bintulu tolak MPKKP

BINTULU: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Melayu, Melanau, Iban dan Cina Daerah Bintulu hari ini mengadakan bantahan secara aman terhadap penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan(MPKKP).

Bantahan yang diketuai Temenggong Haji Rosli Kamaruddin itu bagi menyatakan pendirian mereka menolak sekeras- kerasnya kemasukan dan penubuhan majlis itu yang dilihat bermotifkan politik selain berupaya menggugat keharmonian dan perpaduan kaum yang telah sedia terjalin di bahagian Bintulu, khasnya dan Bumi Kenyalang selama ini.

Tegas beliau, sebagai pemimpin akar umbi, mereka tidak mahu budaya memecah-belah, budaya mencetus perselisihan faham dan mengelirukan rakyat dibawa ke kawasan mereka.

Dengan menubuhkan MPKKP di negeri Sarawak, seolah- olah pihak Kerajaan Persekutuan tidak mempercayai, mencurigai dan mempersoalkan kewibawaan kepimpinan kami selaku ketua masyarakat dan ketua kaum yang telah dipilih oleh penduduk serta telah dilantik dan ditauliah oleh Kerajaan Negeri,katanya semasa ditemui di perkarangan bangunan Pejabat KMKK Daerah Bintulu, di sini.

Sekiranya mereka(Kerajaan Persekutuan) ikhlas dan prihatin dengan kebajikan masyarakat luar bandar, mereka boleh menyalurkan bantuan atau peruntukan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung(JKKK) sedia ada melalui Pejabat Daerah atau Setiausaha Persekutuan Negeri Sarawak untuk ketelusan dan integriti.

Bukan dengan menubuhkan MPKKP yang kelak akan mengganggu gugat perpaduan dan keharmonian sedia ada, tambah Rosli lagi.

Justeru, tegas beliau lagi, mewakili KMKK Melayu, Melanau, Iban dan Cina Daerah Bintulu, mereka menolak serta membantah sekeras- kerasnya penubuhan majlis berkenaan sambil menjelaskan penolakan tersebut bukan dilihat dari aspek politik, sebaliknya, dari sudut keharmonian,perpaduan dan kesejahteraan penduduk yang mahukan faktor berkaitan dipertahankan di Bumi Kenyalang yang dicintai ini sejak zaman berzaman.

Jangan jadikan rakyat sebagai mangsa demi kepentingan politik Pakatan Harapan(PH), cukuplah sudah rakyat menderita dengan harapan janji- janji PH dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu yang sehingga kini masih tidak ditunaikan, kata Rosli lagi.

Sementara itu, hujan renyai- renyai tidak mematahkan semangat lebih 50 KMKK Daerah Bintulu menyertai bantahan secara aman terhadap MPKKP sambil memegang kain rentang diikuti dengan laungan ‘Sarawak Fisrt, Kami Bantah MPKKP’.