Pemimpin PKR, DAP hadir mahkamah demi Sarawak

KUCHING: Beberapa pemimpin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) mengenepikan perbezaan politik apabila turut hadir di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak di sini, hari ini bagi menyatakan sokongan kepada kerajaan Sarawak, dalam pendengaran permohonan semakan semula kehakiman yang difailkan Petronas untuk menentang pelaksanaan Cukai Jualan Negeri (SST).

Antaranya Naib Pengerusi PKR Sarawak yang juga ADUN Batu Lintang See Chee How, Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii dan ADUN Padungan Wong King Wei.

Menurut Chee How, kehadiran mereka adalah untuk menunjukkan soladiriti bersama seluruh rakyat Sarawak dalam perkara berkenaan.

“Ini adalah kes yang sangat penting kerana perkara ini telah didebat, ditangguh dan diperkatakan dalam tempoh yang sangat panjang.

“Saya rasa hari ini amat baik untuk kita mempunyai kata putus, di mana banyak perkara berkaitan undang-undang akan dibincang, didebat,” katanya.

Chee How menambah pihaknya amat berharap agar Sarawak mendapat apa yang dituntut, termasuk semua kepentingan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) .

“Saya yakin pasukan perundangan kita yang diketuai Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Seri J.C Fong dan Peguam Besar Negeri, Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid.

“Mereka adalah peguam terbaik yang kita ada di Sarawak.

“Oleh itu, kami mempunyai keyakinan penuh  bahawa mereka akan mempunyai hujah yang baik dan memenangi kes ini untuk Sarawak,” katanya.

Sementara, Yii berkata semakan kehakiman ini adalah peluang yang baik untuk mahkamah menyelesaikan apa yang betul agar Sarawak dapat memperoleh apa yang patut di bawah MA63 dan Perlembagaan Persekutuan.

“Kami menyokong dan kami bersatu padu ke atas perkara-perkara yang menjadi kepentingan untuk Sarawak,” katanya.

Pendengaran permohonan semakan semula kehakiman antara Petronas dan Sarawak diadakan hari ini dan esok (3 dan 4 Februari) di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak di sini.

Ia apabila Petronas mahu mahkamah memutuskan sama ada Sarawak boleh mengenakan SST atau tidak terhadap produk petroleum.

Pada 10 Disember lalu, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Petronas memohon semakan kehakiman bagi membatalkan Notis Penilaian membabitkan kira-kira RM1.3 bilion dalam SST dan mengisytiharkan seksyen tertentu dalam Ordinan Cukai Jualan Negeri Sarawak sebagai “ultra vires” kepada Perlembagaan Persekutuan.

Suara Sarawak