Pemimpin PKR kalah dalam saman fitnah

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas memenangi kes saman fitnah terhadap bekas Ketua Penerangan PKR Vernon Aji Kedit.

Vernon telah memalukan Uggah apabila beliau menggunakan perkataan pengkhianat dan penipu menerusi satu kenyataan yang dihantar kepada kumpulan WhatsApp PKR State Media pada 12 Julai 2018.

Hakim Mahkamah Tinggi Ravinthran N Paramaguru semalam mengarahkan Vernon membayar ganti rugi sebanyak RM200,000 kepada Douglas di samping perlu membayar kos guaman sebanyak RM40,000.

Ravinthran juga membenarkan injunksi melarang Vernon daripada mengulangi perkataan berbaur fitnah dalam mana-mana penerbitan atau penyiaran mengenai perkara yang sama.

“Memanggil seseorang penipu adalah `satu fitnah,” katanya lagi ketika membuat keputusan itu di kamarnya di Mahkamah Tinggi semalam.

Uggah, plaintif dalam kes ini diwakili peguam Sim Hui Chuang dan Alex Lim Lip Sze manakala defendan Vernon diwakili peguam Desmond Kho dan Simon Siah.

Uggah menegaskan dalam samannya bahawa kenyataan defendan itu dapat menjejaskan kerjaya politik beliau sebagai pemimpin Dayak yang disegani.

Terdahulu, Uggah pernah meminta Vernon untuk menarik balik kenyataan beliau itu dan memohon maaf secara terbuka yang perlu disiarkan dalam setiap akhbar, namun pemimpin PKR itu enggan berbuat demikian.

Vernon memberi alasan bahawa kenyataan tersebut dibuat untuk pengetahuan seluruh kaum Dayak yang mempunyai tanah adat masing-masing.

Uggah juga memberi tarikh akhir bagi penyelesaian tuntutan pada jam 5 petang, 1 Ogos 2018. Jika tidak, Vernon akan berdepan kes tuntutan saman berjumlah RM1 juta termasuk kos berkaitan.

Vernon berkata bahawa setiap komen beliau dalam WhatsApp tersebut dibuat bagi pihak komuniti tanah adat di Sarawak.

Beliau menegaskan bahawa komen tersebut membawa mesej mengenai tanah NCR sahaja yang dibincangkan dalam keadaan yang aman dan sentosa dan bukan bertujuan untuk menjahanamkan sesiapa.