
KUCHING: Kira-kira 500 peminat Kuching City FC (KC FC) hadir ke Festival makanan dan program Roombark Bundel di Stadium Tertutup Kuching di sini.
Ia sempena penganjuran sesi ‘Meet and Greet’ yang diadakan oleh pemain Pasukan KC FC untuk bertemu peminat dan penyokong mereka.
Turut hadir, Pengerusi KC FC Fazzrudin Abdul Rahman, pemain berpengalaman Joseph Kalang Tie, empat pemain import terdiri daripada Yuki Tanigawa (Jepun), Abu Kamara (Liberia), Keanu Marsh-Brown (England), dan Aylton Alemao (Brazil).
Menurut Fazzrudin, pertemuan tersebut membuktikan komitmen kelab dengan memberikan sokongan terhadap apa jua program yang dilaksanakan oleh organisasi tempatan.
“Semua pemain juga hadir bagi memberi sokongan.
“Kita juga mengharapkan penyokong kelab khasnya mereka yang berada di Kuching Sarawak untuk menyokong KC FC,” katanya kepada pemberita di Stadium Tertutup Kuching di sini, hari ini.
Ditanya mengenai kemasukan penyokong ke stadium, Fazzrudin memberitahu beliau akan berhubung semula dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) untuk mengetahui perkembangan semasa.
“Kita akan mengusulkan surat memohon kebenaran (kemasukan pengunjung ke stadium).
“Sekiranya dibenarkan sudah tentunya akan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat yang ditetapkan oleh kerajaan,” ulasnya.
Ujar beliau, diharapkan permohonan itu diluluskan berikutan JPBN secara tidak rasmi memaklumkan pihaknya akan mengikuti SOP yang ditetapkan oleh Kerajaan Pusat.