Peminjam sudah membayar 30 peratus PTPTN layak menerima insentif Kerajaan Sarawak

KUCHING: Peminjam yang telah membayar 30 peratus daripada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) layak menerima insentif Kerajaan Sarawak menyelesaikan 30 peratus pinjaman mereka.
Pengarah Yayasan Sarawak Azmi Bujang berkata, inisiatif yang menelan kos RM30 juta itu akan memberi manfaat kepada sejumlah 9,643 orang peminjam di kalangan anak-anak Sarawak.
“Sementara itu, para pelajar yang belum mencapai bayaran balik sekurang-kurangnya 30 peratus adalah digesa untuk membayar pinjaman mereka agar dapat menikmati inisiatif ini.
“Inisiatif ini hanya layak bagi pelajar yang telah membayar sekurang-kurangnya 30 peratus pinjaman dan Yayasan Sarawak akan membayar 30 peratus daripada baki pinjaman mereka,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Katanya, Kerajaan Negeri menerusi Yayasan Sarawak telah bersetuju dengan satu formula yang akan digunakan bagi membantu menyelesaikan pinjaman pelajar Sarawak daripada PTPTN.
Tambahnya, pihaknya turut menawarkan inisiatif berdasarkan formula yang sama kepada para pelajar di bawah Skim Biasiswa Pinjaman Dalam Negara Yayasan Sarawak.
“Seramai 3,715 pelajar di bawah skim ini layak menerima dengan peruntukan sejumlah sekitar RM6 juta.
“Inisiatif ini sudah bermula dan para peminjam digalakkan untuk menghubungi PTPTN bagi mengetahui baki pinjaman mereka.
“Untuk peminjam skim biasiswa kita, permohonan boleh dibuat secara bertulis kepada Yayasan Sarawak,” ujarnya.
Beliau dalam masa yang sama menasihati para peminjam yang layak menerima inisiatif tersebut untuk meneruskan pembayaran baki pinjaman mereka.
Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Oktober 2019 berkata Kerajaan Sarawak akan mencari kaedah terbaik bagi membantu anak Sarawak membayar balik baki pinjaman PTPTN mereka.

Suara Sarawak