Pemohonan peruntukan dilayan jika KMKK dan JKKK lebih berintegriti

SARIKEI: Semua Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), perlu lebih bertanggungjawab, proaktif dan mengambikberat permasalahan serta kebajikan kampung.

Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Abdullah Saidol berkata, sebagai pemimpin contoh di peringkat akar umbi, pengerusi JKKK juga mesti mengurus JKKK dengan cekap dan telus.

Katanya, KMKK dan Pengerusi JKKK jangan suka membuat keputusan bersendirian tanpa perbincangan bersama Exco JKKK yang dipilih terutama dalam perkara-perkara yang melibatkan kepentingan masyarakat kampung masing-masing.

“JKKK mesti sering bermesyuarat sekurang-kurangnya sebulan sekali untuk berbincang dan mengemaskini status pembangunan dan permasalahan kampung.

“Malah rekod mesyuarat mesti kemas. Minit mesyuarat yang lengkap termasuk merekodkan keputusan dan tindakan yang perlu diambil,” katanya ketika menyempurnakan majlis penutupan rasmi Bengkel Pemantapan Kepimpinan Pemimpin Masyarakat dan Dialog Pembangunan di Dewan Masyarakat Kampung Semop, hari ini.

Abdullah menegaskan, rekod kewangan JKKK mesti diurus dengan lebih kemas, lengkap dan telus oleh bendahari sebagai individu yang bertanggungjawab dalam bidang itu.

Beliau juga mahu Pejabat Daerah memberi arahan kepada semua JKKK untuk mengaudit rekod kewangan dan laporan audit mesti diserah kepada agensi terbabit bagi tujuan pengesahan.

Dalam aspek yang berkaitan katanya, jawatan kuasa lain seperti Jawatankuasa Masjid, Surau serta PIBG perlu diurus dengan baik.

“Saya ingin menegaskan, JKKK, Jawatankuasa Masjid dan PIBG yang tidak menguruskan peruntukan atau kewangan mereka dengan baik, permohonan untuk bantuan kewangan sukar dilayan.

“Pada masa yang sama, hubungan kerja antara semua entiti seperti KMKK, PIBG dan Jawatankuasa Masjid dengan Pusat Khidmat tidak sukar kerana selama ini banyak permohonan daripada mereka hanya disalur melalui pesanan telefon bimbit atau diserah kepada Penyelaras Pusat Khidmat yang sering mengunjungi setiap kampung.

“Jika JKKK cepat membuat aduan sama ada melalui pesanan di telefon bimbit, maka tidak ada keperluan untuk kita membuka pusat khidmat di setiap kampung.

“Ini terbukti selama ini banyak aduan-aduan atau permohonan segera yang dilaporkan melalui panggilan atau pesanan telefon telah dilayani dengan segera oleh Pusat Khidmat ADUN atau Ahli Parlimen,” ujarnya.

Beliau yang juga ADUN N.42 Semop berkata, JKKK mesti melantik seorang setiausaha atau pembantu perhubungan awam yang cekap dalam melaporkan segera sebarang isu di kampung kepada Pusat Khidmat Wakil Rakyat atau terus menghubungi agensi-agensi yang berkaitan berkaitan.

Katanya, kesejahteraan sesebuah kampung hanya akan terbentuk jika masyarakatnya bersatu dan tidak berpuak-puak.

Ujarnya, memang wujud golongan yang hanya suka mengkritik tapi tidak pernah terlibat dengan aktiviti gotong-royong kampung.

“Jika ada kritikan atau teguran yang membina, kita harus terima dengan hati terbuka tapi kalau bernada sumbang atau tidak berasas, kita abaikan.

“Peranan dan kedudukan JKKK akan lebih penting apabila mereka bijak mengurus, melaksana dan memantau secara gotong-royong projek kecil di kampung masing-masing.

“Setiap JKKK mesti membina reputasi yang berwibawa dan berintergriti jika mahu peruntukan disalurkan kepada mereka. Saya juga ingin menegaskan, sebarang penyalahgunaan peruntukan dilaporkan kepada Pejabat Daerah atau Unit Ombudsman dan Integriti siasatan dan tindakan tegas akan diambil,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyampaikan sumbangan berjumlah RM45,000 kepada 11 penerima.

Hadir sama, Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab.

Suara Sarawak