KUCHING: Seorang pemuda tempatan dihadap ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan memiliki dadah jenis ganja seberat 204 gram, Februari lepas.
Tertuduh Muhamad Azizul Bujang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.
Mengikut pertuduhan, dia bersama rakannya didakwa memiliki dadah jenis ganja seberat 204 gram semasa berada di Jalan Tabuan Park, Tabuan Jaya, di sini, sekitar jam 10.00 malam, 21 Februari lalu.
Pendakwaan kes mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39(2) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati mandatori atau penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 15 sebatan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Rogayah Rosli manakala tertuduh diwakili Peguam Gerald Empaling Donald.
Mahkamah memutuskan sebutan semula bagi pengurusan kes pada 1 April depan.
