Pemuda PBB Satok laksana ibadah korban

KUCHING: Seekor lembu disembelih sempena Program Ibadah Korban Aidiladha Pemuda Satok 2.0 tahun ini, semalam.

Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, program itu diadakan setiap tahun dengan penglibatan orang kampung, masjid dan sebagainya.

Katanya, program semalam dijalankan bersama-sama dengan Pemuda PBB Satok.

“Semalam saya bersama-sama Timbalan Ketua PBB Cawangan Satok Datuk Ibrahim Baki bergerak dari satu tempat ke tempat lain untuk terlibat bersama-sama melapah dan mengagihkan daging korban di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Ibadah Korban Aidiladha Pemuda N8 Satok 2.0 2020, di Jalan Abang Ateh, Satok di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Pemuda PBB Satok Kaunselor Dzamaluddin Zainudin berkata, program tersebut merupakan aktiviti santai bersama-sama dengan Fadillah dan Ibrahim.

“Kali ini kita hanya mengagihkan daging korban kepada 25 ahli dan Exco Pemuda Satok,” katanya ketika ditemui pada program itu semalam.

Beliau yang juga pengerusi pengelola program tersebut menambah, aktiviti itu dijalankan dengan pematuhan SOP seperti yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Hanya 20 ahli pemuda yang terlibat untuk menguruskan program ini,” tegasnya.

Fadillah yang hadir semalam turut melancarkan Beca Kenyalang Satok menandakan persiapan jentera Pemuda PBB Satok bagi pilihan raya negeri akan datang.

Hadir sama, Setiausaha PBB Cawangan Satok Abdul Samat Gany, Naib Ketua PBB Cawangan Satok Helmi Othman serta wakil yang lain.

Suara Sarawak