MUKAH: Seorang anggota polis cedera digigit oleh seorang lelaki yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah dalam satu tangkapan di sebuah ladang sawit di kawasan Sepiring, Selangau Jalan Sibu Bintulu pagi semalam.
Anggota polis itu cedera di telapak tangan dan kaki kanannya.
Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superitenden Muhamad Rizal Alias berkata penganggur yang berusia 32 tahun itu dipercayai di bawah pengaruh dadah bertindak agresif dan melawan pihak polis bagi melepaskan diri hingga berlaku pergelutan semasa pegawai terlibat memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis.
“Pada 28 Julai 2021 (Rabu), sekitar jam 9.30 pagi sepasukan anggota Cawangan Narkotik IPD Mukah telah menahan seorang lelaki kerana disyaki terlibat dengan kegiatan dadah di sebuah ladang sawit di kawasan Sepiring Jalan Selangau Bintulu.
“Polis terpaksa menggunakan kekerasan yang minumum untuk menangkap suspek.

“Namun seorang anggota polis mengalami patah tulang di telapak tangan sebelah kanan akibat ditarik dengan kuat oleh suspek selain kaki kanannya turut cedera kesan digigit oleh suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, suspek seterusnya ditahan dan hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat beg silang berwarna hitam milik suspek mengandungi satu peket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan berat kasar 5.26 gram.
Suspek kemudian ditahan di lokap Balai Polis Mukah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah.
Ujian saringan air kencing turut diambil dan didapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan permohonan reman akan dipohon pada 29 Julai 2021 (hari ini) di Mahkamah Majistret Mukah.
Dedahnya lagi suspek turut disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana telah menyebabkan anggota polis cedera parah dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Mukah.
Anggota polis berkenaan bagaimanapun telah dirujuk ke Hospital Mukah dan kini berada dalam keadaan stabil serta dibenarkan keluar dari Hospital setelah menerima rawatan.
