
BINTULU : Seorang lelaki tempatan ditangkap di Jalan Abang Galau, di sini kerana terlibat dalam kegiatan penagihan dadah.
Tangkapan ke atas suspek berumur 31 tahun itu dibuat pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Bintulu semalam.
Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Batholomew Umpit berkata hasil ujian saringan awal polis juga mendapati suspek positif dadah jenis amphetamin dan methamphetamine.
“Turut dirampas dadah jenis syabu dengan besar kasar 0.2 gram,” katanya yang dihubungi, hari ini.
Justeru, katanya suspek disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Katanya sabit kesalahan di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 boleh di dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda RM100,000.
Manakala kesalahan di bawah Sek.15(1) ADB 1952 boleh dikenakan denda tidak lebih RM5, 000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan pengawasan dua tahun.
Menurut Batholomew, tangkapan merupakan salah satu usaha PDRM dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah, di samping mencegah aktiviti jenayah di Daerah Bintulu.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah di daerah ini diseru untuk memaklumkan kepada IPD Bintulu di talian 086-318304 bagi tindakan lanjut.