KUCHING: Seorang penagih dadah Orang kelainan Upaya (OKU) cacat penglihatan dijatuhi hukuman denda RM3,500 atau penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana memukul isterinya dan mengugut hendak mencederakan mangsa sekiranya enggan memberikan kad bank.
Tertuduh Sa’adi Bakar, 46, bekerja sebagai buruh dari Kampung Meranek Kota Samarahan mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zaiton Anuar.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa berusia 35 tahun di wad kanak-kanak Hospital Umum Sarawak, kira-kira jam 6.30 petang, 2 Jun lalu.
Zaiton menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau lima bulan penjara terhadap tertuduh bagi pertuduhan pertama.
Manakala, pertuduhan kedua dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah hendak mencederakan mangsa yang sama di tempat dan hari yang sama, kira-kira jam 7.15 malam.
Bagi pertuduhan kedua, Zaiton menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atau penjara tiga bulan.
Pendakwaan Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Untuk berita terperinci, sila langgani e-paper atau akhbar Suara Sarawak di pasaran.