KUCHING: Seorang lelaki berusia 31 tahun dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Mohd Syafreerullah Khan Johan dari Siol Kanan, Petra Jaya, mengaku bersalah selepas satu pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zaiton Anuar.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama.
Zaiton memerintahkan tertuduh di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman penjara.
Mengikut pertuduhan, dia melakukan kesalahan itu di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching, sekitar jam 12.05 tengah hari, 15 April 2022.
Berdasarkan fakta kes, air kencing tertuduh didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine seperti yang disenaraikan dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.