KUCHING: Seorang lelaki tempatan didenda RM3,400 dan penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana terlibat aktiviti penyalahgunaan dadah dan memiliki 0.16 dadah jenis Methamphetamine, April lalu.
Tertuduh Abdul Razak Mazlan,36, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 1.16 gram di sebuah rumah beralamatkan Kampung Gita Laut, sekitar jam 11.30 pagi, 18 April lalu.
Pendakwaan kes di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama Seksyen 12 (3) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Zubaidah menjatuhkan hukuman denda RM3,400 atau empat bulan penjara sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda.
Selain itu, tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.
Bagi kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap tertuduh serta di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman penjara.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.